Isu jurang pembangunan dapat perhatian

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu merapatkan jurang pembangunan antara negeri mendapat perhatian Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang bertanyakan apakah kerajaan menyusun keutamaan mengikut negeri dari segi jenis projek pembangunan yang dibiayai.

- Advertisement -

“Sejauh manakah ia (projek pembangunan) membantu merapatkan jurang pembangunan negeri berkenaan dengan negeri-negeri lain yang lebih maju,” katanya dalam soalan tambahan ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib, berkata 50 peratus peruntukan asas diagihkan kepada enam negeri yang kurang membangun.

“Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan komited agar sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan asas untuk diagihkan kepada enam negeri yang kurang membangun, iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak pada tahun 2022.

“Agihan diasas kepada enam negeri tersebut adalah sebanyak 52.3 peratus yang berjumlah sebanyak RM15.2 bilion,” katanya.

Berdasarkan soalan asalnya, Ahmad Amzad meminta kerajaan menyatakan inisiatif dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan khususnya Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri di Malaysia selaras dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Hanifah berkata, peruntukan pembangunan di Terengganu yang diluluskan adalah sebanyak RM1.37 bilion melibatkan pelaksanaan sejumlah 327 projek di bawah pelbagai kementerian. – HARAKAHDAILY 23/2/23

- Advertisement -