
KOTA BHARU: Kelantan akan memiliki bangunan tertinggi apabila pangsapuri 39 tingkat dibangun di Bandar Baharu Kubang Kerian tidak lama lagi.
Bangunan itu terdiri daripada 26 unit perniagaan dan 668 unit kediaman pelbagai saiz seperti studio, dua dan tiga bilik akan dilengkapi peralatan elektrik dan perabot.
Pangsapuri terbabit dibina Kumpulan Malvest, Troika Kota Bharu dengan usahasama Sentosa Jaya Development Sdn Bhd di tapak bekas Pasar Kubang Kerian.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, projek tersebut akan meningkatkan imej Kubang Kerian sebagai sebuah bandar moden, yang pesat membangun beridentitikan Islam.
“Projek Arika Kubang Kerian sebagai projek yang berprestij dan bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri melalui Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040.
“Untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja Kelantan dan pelancongan warisan kebudayaan yang dinamakan sebagai Bandar Diraja al Muhammadi,” katanya pada pelancaran projek Arika Kubang Kerian hari ini.
Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.
Sebelum ini Kumpulan Malvest melalui Kelmedic Sdn Bhd, syarikat usahasama dengan Yayasan Kelantan Darulnaim dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membangunkan Troika Kota Bharu setinggi 37 tingkat di Jalan Mahmood. – HARAKAHDAILY 12/1/2023




















