
KUALA LUMPUR: “Apa-apa pun kita doakan semoga cuaca hari ini bertambah baik di seluruh Malaysia,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau bersama pasukan Pusat Khidmat Parlimen Kubang Kerian turun membuat lawatan bagi melihat keadaan mangsa-mangsa banjir, semalam.
Katanya, mereka bermula di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong kemudian ke PPS SK Mulong dan PPS SK Gong Dermin.
“Sebahagian mangsa banjir dijangka akan mula pulang ke rumah dan lakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, petang semalam.
Menurutnya, terdapat sebahagian lagi yang masih berada di PPS kerana air belum surut sepenuhnya.
“Alhamdulillah kemudahan di PPS sangat memuaskan bagi keperluan mangsa-mangsa banjir,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau mengcapkan terima kasih kepada pihak NADMA, JKM, RELA, JPAM dan semua pihak yang telah membantu. – HARAKAHDAILY 22/12/2022











