
Penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi, menjadi penyelamat apabila aksi cemerlangnya pada masa kecederaan memastikan Malaysia meraih tiga mata dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi di Stadium Thuwunna di Yangon.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar, semalam bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan skuad negara menjelang perlawanan lebih sukar Kumpulan B, tetapi juga melupakan kekalahan kepada lawan yang sama pada 2016.
Pada kejohanan 2016, Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Myanmar di Yangon dan akhirnya gagal ke separuh akhir.
Pasukan kendalian jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, boleh berterima kasih kepada Syihan yang membuat perkiraan tepat untuk ke arah kiri ketika menghadapi sepakan penalti Win Naing Tun.
Dalam perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 2,500 penyokong tuan rumah, Pan-gon hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama daripada aksi pemanas badan terakhir ketika menewaskan Maldives 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, minggu lalu

Tonggak utama Sabah, Stuart Wilkin dipilih untuk mengemudi bahagian tengah bersama Brendan Gan.
Bagaimanapun, rentak pasukan negara agak perlahan pada 20 minit pertama apabila Myanmar bertali arus menyerang dengan beberapa percubaan berbahaya.
Pasukan tuan rumah melaungkan amaran awal menerusi percubaan Hein Htet Aung di luar kotak penalti pada minit kelapan sebelum percubaan Aung Kaung Mann berjaya dinafikan.
Malaysia tidak hanya bertahan dan melalui serangan pada minit ke-52, penyerang Faisal Halim berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan.
Percubaan Faisal yang menerima umpanan kapten pasukan, Safawi Rashid, melepasi penjaga gol Myanmar Kyaw Zin Phyo.

Harimau Malaya akan berdepan Laos, Sabtu ini dalam perlawanan kedua kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pasukan lain dalam Kumpulan B ialah Vietnam dan Kemboja. Pada Piala AFF tahun lalu, Malaysia gagal ke separuh akhir dan menyebabkan jurulatih, Tan Cheng Hoe meletak jawatan dan digantikan Pan-gon, awal tahun ini. – HARAKAHDAILY 22/12/2022











