
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dianggap menyalah guna dan manipulasikan Jata Negara melalui platform digital untuk kepentingan politik sempit.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohamad Suffi Kamari, berkata mereka membuat siaran langsung di media sosial secara berleluasa dengan menjenamakan parti mereka sebagai #KerajaanYDPA.
Katanya, isu membabitkan Jata Negara merupakan suatu perkara yang perlu dipandang serius kerana melibatkan kedaulatan Malaysia.
“Yang paling penting kesedaran awam supaya penggunaan Jata Negara tidak boleh dibuat secara sembrono, apatah lagi mereka menggunakannya untuk kepentingan politik.
“Kita kena pastikan institusi raja berperlembagaan tidak dikaitkan dengan politik, jadi kita tak boleh guna untuk kepentingan sesetengah pihak, mesej itu jelas.
“Jadi kita harapkan laporan yang kita buat ini dapat memberi ruang pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD), Bukit Idaman, Selayang, hari ini.
Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.
Mohamad Suffi berkata, laporan itu dibuat di bawah Akta 414 – Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Katanya, penghasilan Jata Negara melalui pelbagai fasa sejak tahun 1985 hingga 1998 yang mana berlakunya penukaran lambang Harimau Malaya secara lebih jelas.
“Atas dasar kepedulian itu Pemuda PAS Gombak dan disusuli Dewan Pemuda PAS kawasan lain akan membuat laporan untuk membolehkan polis segera mengambil tindakan,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Gombak turut mendesak penyokong PH tidak memprovokasi masyarakat khususnya melalui penggunaan Jata Negara demi kepentingan politik sempit.
Beliau juga berharap anak-anak muda mengambil peduli serta peka terhadap isu tersebut.
“Anak-anak muda terutamanya mereka yang ‘hype’ sebenarnya dengan menganggap #KerajaanYDPA menggunakan lambang Jata Negara seperti Malaysia mereka sahaja yang punya, ini tidak betul,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2022




















