Pembangkang masih ada, bukan ‘kerajaan perpaduan’

- Advertisement -

TERIMA kasih Tuan Yang di-Pertua di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahaskan usul ini. Pertamanya saya hendak memulakan dengan ucapan takziah kepada mangsa tanah runtuh di Selangor dan banjir di Kelantan khususnya yang maut sebentar tadi.

- Advertisement -

Saya juga sudah bercakap dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri minta Yang Amat Berhormat Tambun dapat selepas usul ini diluluskan dapat pergi ke Pasir Mas, ke Rantau Panjang, ke Tumpat sekali lagi. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Timbalan Perdana Menteri yang turun ke Kelantan pada minggu lepas tetapi kali ini banjir yang berlaku agak luar biasa.

Saya fikir ini usul yang perlu untuk kita bahas kepentingan rakyat, usul percaya ini satu perkara yang tidak perlu untuk kita bahaskan di sini pun ini kerana dalam sejarah tanah air kita sendiri, usul percaya dibawa ke Dewan ini apabila Perdana Menteri mengambil alih kerajaan di pertengahan penggal berlaku pada tahun 1976 ketika itu Allahyarham Tun Hussein bin Dato’ Onn mengambil alih kerajaan selepas 12 hari kematian Allahyarham Tun Haji Abdul Razak. Usul percaya dibawa ke Dewan, begitu juga ketika Tun Abdullah bin Ahmad Badawi tahun 2003 mengambil alih kerajaan daripada Tun Dr. Mahathir pada masa itu juga usul percaya dibawa ke dalam Dewan.

Jadi usul percaya dibawa ke dalam Dewan apabila kerajaan beralih di pertengahan penggal kalau ia pun perlu dibawa. Jadi pada kali ini saya fikir ia tidak perlu dibawa kerana ia lebih bersifat kepada akademik. Namun, kerajaan telah membuat keputusannya untuk membawa Yang Amat Berhormat Ketua Majlis buat keputusan hendak bawa usul ini.

Jadi apabila sudah dibentangkan, kami mengambil peluang ini untuk berbahas dan dalam masa yang sama saya ingin menyebut bahawa kita, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh pengundi-pengundi terutamanya anak muda dalam PRU15 yang lepas yang kebanyakannya telah memberikan undi kepada Perikatan Nasional.

Itu satu perkara yang tidak boleh dinafikan kerana kebangkitan dan gelombang ini ialah satu gelombang penolakan kepada Pakatan Harapan dan penolakan kepada Barisan Nasional sekali gus. Apabila kedua-duanya mengambil keputusan untuk bergabung, ia tidak membentuk sokongan rakyat sekalipun.

Yang Berhormat Bagan sebentar tadi yang saya hormati telah menyebut bahawa gabungan di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan telah menjadi majoriti. Ya mungkin betul jika dilihat kepada PRU15 tetapi jika dilihat kepada pilihan raya kecil Padang Serai, ia menjadi referendum rakyat bahawa rakyat menolak gabungan di antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

Mari saya membacakan faktanya. Pada PRU14, PKR mendapat undi sebanyak 31,000. PAS mendapat undi sebanyak 22,000. Barisan Nasional mendapat undi sebanyak 15,000. Sepatutnya jika campur undi daripada PKR dengan BN, ia telah mendapat undi paling tidak 47,000.

Akan tetapi baru-baru ini Pakatan Harapan mendapat undi hanya sebanyak 35,000 manakala PERIKATAN NASIONAL mendapat undi sebanyak 51,000. Sedangkan kerajaan telah dibentuk. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengangkat sumpah. Menteri Besar Perak pun, Menteri Besar, kerajaan-kerajaan negeri pun telah dibentuk dengan menggabungkan antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional.

Ertinya apa dia? Ertinya gelombang rakyat bersama-sama dengan kami dan insya-Allah kalau kerajaan ini kekal, saya ulangi sekali lagi, kalaupun kerajaan ini kekal sampai ke akhir penggal, PRU16 insya-Allah PERIKATAN NASIONAL akan mengambil alih tempat di sebelah sana.

Merujuk kepada angka-angka yang dibentangkan tadi, Yang Berhormat Bagan menyebut berkenaan dengan tukaran ringgit yang menunjukkan bahawa kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah pun berjaya. Saya fikir tukaran ringgit ini satu indikator tetapi ia tidak semestinya satu-satu indikator untuk membuktikan kerajaan berjaya.

Kalau begitu, bagaimana pula ketika Pakatan Harapan mengambil kerajaan? Pada 30 Mac 2018, nilaian ringgit RM3.80 pada masa itu, 1 US Dollar. Pada 23 November 2018, ringgit semakin turun kepada RM4.19 bersamaan 1 US Dollar. Kalau itu menjadi indikator, ertinya Pakatan Harapan pada tahun 2018 telah gagal untuk mengawal nilaian ringgit. Nilaian ringgit ini satu indikator tetapi ia tidak semestinya menunjukkan bahawa kerajaan telah berjaya.

Pada 4 Disember 2022, RM4.30 dengan 1 US Dollar. Hari ini 19 Disember 2022, RM4.40 semakin naik. Ertinya apa dia? Ertinya ia tertakluk kepada faktor-faktor yang lain dan tidak semestinya menggambarkan kepada feel good factor yang ada kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Bagi saya sendiri Tuan Yang di-Pertua, saya menganggap bahawa kerajaan yang ada ini adalah merupakan satu kerajaan yang telah diperkenalkan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi jangan dinamakan sebagai ia sebuah ‘kerajaan perpaduan’ kerana ia bukan merupakan sebuah ‘kerajaan perpaduan’. Pembangkang masih lagi ada di sini. Masih lagi ada di sini! Di mana-mana negara sekalipun. Unity government ialah ditafsirkan sebagai lack of opposition dengan izin, bahawa tidak ada pembangkang.

Jadi, apabila masih ada pembangkang, tidak perlu hendak namakan sebagai kerajaan perpaduan. Ia lebih kepada kerajaan campuran di antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan rakan-rakan parti yang lain dan kerana itulah apabila kerajaan dibentuk hasil daripada pertembungan sebelum daripada ini, tidak ada lagi saya dengar kawan-kawan bercakap tentang korupsi. Tidak ada lagi saya dengar kawan-kawan bercakap tentang chauvinism dan sebagainya kerana sudah tidak ada modal.

Jadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri keluar dari sidang media, tah apa-apa, mengaitkan kami pula dengan dana judi yang sehingga ke hari ini masih tidak boleh dibuktikan lagi. Jadi, saya fikir ini adalah merupakan satu bayangan daripada sebelah sana. Sepatutnya hendak lakukan audit forensik kah, apa kah, buatlah 25 jam sehari. Silalah. Bayarlah elaun. Guna gaji Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang tidak diambil, bayar kepada petugas-petugas ini. Check akaun kami. Check akaun saya. Mana ada dana judi? Akan tetapi tidak boleh dilakukan dan dibuktikan kerana apa? Kerana ia merupakan satu perkara yang tidak boleh dibuktikan sama sekali.

Oleh kerana itulah bagi saya sampai masanya untuk kita, saya fikir kita mengemudi negara ini dengan mengetepikan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeruhan.

Insya-Allah, saya yakin kalau Yang Amat Berhormat Perdana Menteri lebih bersifat kepada seorang Perdana Menteri kepada seluruh Malaysia. Saya yakin iklim politik kita boleh untuk direndahkan suhunya dan saya fikir bahawa sampai masanya kita kena mengemudi kerajaan ini dengan lebih baik. Kepada rakan-rakan di sebelah Barisan Nasional, saya yakin dan saya menyeru, bertindaklah mengikut gerak dan hati masing-masing.

Jangan jadi seperti:
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran.
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan.
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Adat rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk
. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari semasa membahaskan Usul Undi Percaya Terhadap Kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun Sebagai Perdana Menteri pada 19 Disember 2022.

- Advertisement -