Presiden PAS lawat mangsa banjir selepas sidang Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPIR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terus bergerak ke Kemaman dan Dungun untuk melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Seberang Tayor, Tebak dan Kemasik sebaik sahaja persidangan Dewan Rakyat berakhir, semalam.

- Advertisement -

Beliau ditemani Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Chukai, Hanafiah Mat dan ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim dalam lawatan itu.

Setakat jam 4 petang, keadaan banjir di Dungun menunjukkan peningkatan mangsa banjir berjumlah 2,913 orang yang melibatkan 831 keluarga.

Di Kemaman, seramai 2,597 keluarga telah dipindahkan ke PPS dengan jumlah 10,042 orang.

Selepas itu, beliau meneruskan perjalanan ke Paka, petang semalam bagi melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Paka melibatkan seramai 269 mangsa banjir daripada 69 keluarga.

Sebahagian daripada mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Paka atas faktor Dewan Sivik Paka sudah melebihi kapasiti.

Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengharapkan mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian itu.

“Insya-Allah kami akan terus menghantar bantuan segera kepada rakyat yang terkesan. Insya-Allah bantuan akan terus disalurkan kepada seluruh mangsa banjir,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan yang menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.

“Marilah kita berdoa agar dijauhkan dan diselamatkan diri dan keluarga daripada bencana ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -