Laporan polis terhadap unsur jenayah dalam MoU Kerajaan PH-BN

- Advertisement -

PEMUDA PERIKATAN NASIONAL telah membuat laporan polis berkenaan dengan satu pakatan jahat antara pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (“PH”), Barisan Nasional (“BN”), Gabungan Parti Sarawak (“GPS”), Gabungan Rakyat Sabah (“GRS”), Parti Warisan (“WARISAN”) yang merosakkan dan memudaratkan demokrasi berpalimen.

- Advertisement -

Pada 16.12.2022, pemimpin-pemimpin PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN telah memeterai satu Perjanjian Persefahaman Kerjasama Untuk Membentuk Kerajaan Gabungan (yang menggunakan istilah palsu “Kerajaan Pepaduan Malaysia”) kononnya Bagi Kestabilan, Pembaharuan, Perpaduan Sosial Dan Insklusif (“Perjanjian Persefahaman”). Peristiwa ini telah dilaporkan dalam media massa dan sesalinan Perjanjian Persefahaman tersebut juga telah dimuatnaikkan dan disebarkan dalam media seperti yang dilampirkan di sini sebagai Lampiran A. Pautan: https://www.astroawani.com/berita-politik/permuafakatan-persefahaman-antara-ketuaketua-parti-beri-isyarat-untuk-pacu-negara-pm-anwar-397145

Perjanjian Persefahaman itu bukanlah satu perjanjian kerjasama, malah sebaliknya adalah satu perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen:

1. Klausa 4(a) Perjanjian Persefahaman memerlukan setiap parti dan pihak mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Setiap parti dan pihak hendaklah bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman di dalam parti-parti mereka bagi memastikan sokongan parlimen untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan;

2. Klausa 4(b) memerlukan parti PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN untuk memastikan bahawa setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut Klausa 4(a). Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada Parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan. Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Kesan kumulatif peruntukan dalam Perjanjian Persefahaman tersebut, secara ringkasnya, memerlukan semua ahli Parlimen dari parti PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN untuk mengundi hanya satu cara yang dikehendaki oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (“DSAI”), PM10 bagi memastikan DSAI dapat memperolehi sokongan yang mencukupi untuk terus menjadi PM10.

Perjanjian Persefahaman tersebut adalah haram dan tidak sah di sisi undang-undang kerana ia adalah menyekat dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen yang merupakan ciri asas kerajaan Malaysia berpaksikan Raja Berperlembagaan. Perjanjian Persefahaman tersebut adalah bercanggah dengan undang-undang berikut:

1. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan;

2. Perkara 43(a) Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Perdana Menteri untuk mendapatkan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan bukan dengan cara Perjanjian Persefahaman yang menyekat kebebasan ahli Dewan Rakyat untuk menyuarakan, melindungi dan mengundi dalam Parlimen demi hak dan kepentingan rakyat yang mana objektif dan kesan Perjanjian Persefahaman itu merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen;

3. Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesan terhadap kerusi parlimen akibat pertukaran parti politik;

4. Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tatacara Parlimen dan pengundian;

5. Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan dan s. 3 Houses of Parliament (Privileges and Powers) Act 1952 yang menjamin kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk bersuara dan membahas dalam prosiding Parlimen.

Selanjutnya, Pemuda PN sesungguhnya percaya bahawa Perjanjian Persefahaman tersebut adalah haram dan tidak sah di sisi undang undang menurut s. 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 kerana objektifnya merosakkan demokrasi berparlimen, bercanggah dengan polisi awam dan adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang dan berunsur salah.

Maka dalam berpakatan jahat untuk menyekat demokrasi berparlimen dan memasuki Perjanjian Persefahaman haram tersebut, pemimpin-pemimpin PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN telah melakukan kesalahan-kesalahan berikut:

1. Pakatjahat jenayah di bawah s. 120A Akta 574;

2. Aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen di bawah s. 124B Akta 574;

3. Percubaan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen di bawah s. 124C Akta 574;

4. Kesalahan terhadap undang-undang Malaysia di bawah s. 225B Akta 574;

5. Menyubahati sesuatu pekara di bawah s. 107 Akta 574;

6. Membuat satu perjanjian yang kesan dan objektifnya adalah haram dan tidak sah melanggari s. 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 yang merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen, bercanggah dengan polisi awam dan adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang dan berunsur salah.

Pemuda PN membuat laporan ini untuk mengekang perbuatan jenayah pemimpin-pemimpin PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN dalam menekan asas kebebasan ahli-ahli Parlimen yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menekan hak dan suara mereka supaya boleh disenyapkan. Ini satu perbuatan salah merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen. Saya memohon pihak polis untuk menyiasat perkara ini supaya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dapat dijamin dan keamanan negara dapat dipelihara.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional
MP Pasir Mas – HARAKAHDAILY 18/12/2022

- Advertisement -