
KOTA BHARU: Berikutan banjir di Kelantan semakin membimbangkan, Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob menyeru rakyat di negeri itu peka terhadap amaran keadaan cuaca dan patuh arahan pihak keselamatan.
Beliau berharap rakyat sentiasa peka perkembangan banjir dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan ramalan terkini jam 12.30 tengahari tadi berkenaan perkembangan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh negeri Kelantan sehingga 21 Disember.
“Paras air sungai utama di negeri Kelantan juga menunjukkan peningkatan dan melepasi paras bahaya,” ujarnya pada kenyataan hari ini.
Sehingga kini, katanya lima Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) telah diaktifkan iaitu PKOB Pasir Mas, PKOB Jeli, PKOB Tanah Merah, PKOB Machang dan PKOB Pasir Puteh.
Menurutnya, pusat tersebut bertindak mengkoordinasikan pengurusan banjir negeri.
Ahmad juga berkata, sehingga jam 2.15 petang tadi, jumlah mangsa banjir seramai 3,011 orang melibatkan 893 keluarga yang berada di 29 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Saya mengarahkan wakil-wakil rakyat bersama-sama Ketua Jajahan dan pegawai terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna mengenai keselamatan dan kebajikan rakyat di DUN dan jajahan masing-masing.
“Saya berharap rakyat Kelantan tidak mengambil mudah setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah,” ujarnya.
Tambahnya, apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak perlu mengambil langkah segera berpindah dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu Maghrib.
Beliau turut berharap orang ramai supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya Kelantan tidak dilanda dengan banjir besar.
Hujan lebat dan angin agak kencang melanda Kelantan dan negeri-negeri di Pantai Timur sejak semalam. – HARAKAHDAILY 18/12/2022











