
KOTA BHARU: PAS Kubang Kerian yakin PERIKATAN NASIONAL mampu meraih majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berbanding PRU14.
Yang Dipertua PAS kawasan berkenaan Abdul Rahman Yunus berkata, situasi itu dapat dilihat berdasar momentum sokongan kepada PAS begitu luar biasa.
Katanya, penyandang kerusi parlimen Kubang Kerian Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man banyak menabur jasa sepanjang berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.
“Kedudukannya sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air membolehkan lebih banyak projek bekalan air dibawa ke Kelantan.
“Ustaz Tuan Ibrahim memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan kerana sebelum ini kita berdepan dengan kekangan peruntukan daripada kerajaan Pusat,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebanggsaan Banggu.
Beliau tiba kira-kura jam 7.50 pagi di pusat pengundian tersebut dan selesai membuang undi kira-kira 20 minit kemudian.
Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berharap cuaca baik hari ini terus kekal sehingga petang bagi membolehkan lebih ramai keluar mengundi.
“Nampak sedikit mendung namun kita berharap tidak hujan hari ini agar tidak menganggu perjalanan pengundian. Semoga jumlah keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRU lepas,” katanya.
Beliau turut beramah mesra dengan orang ramai yang sedang menunggu giliran untuk membuang undi.
Parlimen Kubang Kerian menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana Tuan Ibrahim ditentang Dato’ Nurul Amal Mohd Fauzi (BN); Mohamad Rizal Razali (Pejuang) dan Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah (PH). – HARAKAHDAILY 19/11/2022




















