
MASJID TANAH: Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Masjid Tanah, Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin mengakui berdepan cabaran getir memandangkan kawasan berkenaan merupakan kubu kuat Umno.
Bagaimanapun katanya beliau dan jentera pilihan raya PN tetap bertungkus lumus berkempen dalam tempoh dua minggu selepas penamaan calon 5 November lepas.
“Saya tahu kawasan ini kubu kuat BN namun saya telah cuba yang terbaik dengan kerjasama pasukan kempen PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan.
“Saya menjejaki di setiap kampung. Dan hari ini saya pulangkan kepada pengundi untuk menentukan wakil rakyat di Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar pada jam 8.15 pagi tadi.
Beliau turut meminta pengundi keluar awal bagi mengelakkan cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang.
Mas Ermieyati berdepan saingan empat penjuru iaitu Abdul Hakim Abdul Wahid (BN), Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).
Pada PRU13 dan PRU14 beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket BN, bagaimanapun menyertaii Bersatu pada akhir 2018 selepas Umno dilanda kemelut dalaman.




















