Motif di sebalik isu isytihar harta

- Advertisement -

Selepas Timbalan Presiden PKR, mengisytiharkan hartanya kepada umum, Rafizi Ramli tidak menunggu lama untuk mencabar calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dari PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan perkara yang sama.

- Advertisement -

Pada masa sama, pemimpin lain PKR yang bertanding dalam PRU15 mengikut jejak langkahnya, tetapi sesetengah pengisytiharan dilihat juga tidak begitu telus.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Sungai Buloh, Ramanan Ramakrishnan, sebagai contoh mengisytiharkan hartanya sebanyak RM63.5 juta, tetapi tidak mengisi butiran hartanya secara terperinci.

Malah, harta hampir RM19 juta yang Rafizi isytiharkan sendiri menimbulkan kontroversi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan membuka kertas siasatan berhubung tindakannya.

Ini berikutan, satu laporan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan calon Parlimen Pandan itu.

Bagaimanapun, Rafizi bukan calon pilihan raya pertama mengisytiharkan harta kerana calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah melakukan demikian pada PRU14.

Sebenarnya jika undang-undang mewajibkan setiap calon pilihan raya mengisytiharkan harta masing-masing, setiap calon tidak berhadapan masalah untuk mematuhinya.

Namun setakat ini, tidak ada keperluan berbuat demikian. Ketika ini, hanya Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Timbalan Menteri dan Menteri, diwajibkan berbuat demikian.

Perkara ini dipersetujui oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang berpandangan bahawa tiada masalah dengan mana-mana pihak atau individu yang ingin mengisytiharkan harta pada musim PRU15.

Namun, katanya tindakan itu boleh dianggap sebagai wayang jika ia hanya dibuat menjelang hari pengundian.

Katanya, langkah itu sebenarnya boleh dibuat sebelum musim PRU dan bukan semata-mata demi mengaburi mata orang ramai.

“Pengisytiharan harta bukan hanya boleh dibuat pada minggu atau waktu pilihan raya ini, ia boleh dibuat bertahun-tahun dulu atau pada bila masa-masa.

“Masyarakat setempat boleh menilai dan lebih tahu (harta) calon PAS yang kita ketengahkan, harta kita tak sampai juta-juta, PAS tiada kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa macam parti lain, namun PAS tiada masalah sesiapa nak umum,” katanya.

Sebenarnya sangat jelas bahawa Rafizi mempunyai agenda tersirat apabila membangkitkan isu ini kerana matlamatnya ialah menyerang dengan meletakkan PN dan BN serta parti politik lain dalam keadaan defensif, sekali gus tewas dalam PRU15.

Namun, Rafizi lupa bahawa perkara yang dianggapnya penting itu juga tidak disepakati bersama dalam PH kerana DAP tidak menetapkan dasar supaya calon parti itu yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta mereka.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyatakan bahawa ahli parti itu hanya akan berbuat demikian jika dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet jika PH menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Kami tidak mempunyai dasar demikian. Hanya jika kami dipilih dan mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet, kami akan berbuat demikian (mengisytiharkan harta) seperti sebelum ini,” katanya.

Jika ikhlas, Rafizi sepatutnya telah lama membangkitkan perkara ini atau boleh sahaja melalui rakan-rakannya di Parlimen supaya pindaan terhadap undang-undang berkaitan Suruhanjaya Pilihan Raya dibuat atau sekurang-kurangnya ketika kembali semula ke arus perdana politik PKR.

Rafizi juga sebenarnya lupa bahawa dua bulan selepas PH membentuk kerajaan pada 2018, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya Malaysia (ERC).

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman diberikan masa selama dua tahun untuk menyiapkan tugasnya termasuk mengemukakan laporan dan perakuan-perakuan kepada kerajaan untuk dihalusi dan dilaksanakan.

Ketika itu, Rafizi atau pemimpin PH lain boleh sahaja mengemukakan cadangan untuk mewajibkan pengisytiharan harta bagi setiap calon yang bertanding dalam PRU.

Apabila hanya dibangkitkan menjelang hari pengundian, maka motif tindakannya boleh dipersoalkan. – HARAKAHDAILY 15/11/2022

- Advertisement -