Generasi Felda sambut baik tawaran PERIKATAN NASIONAL

- Advertisement -

MARAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak berkata, rata-rata generasi Felda menyambut baik tawaran PN.

- Advertisement -

Menurutnya, ia berdasarkan sambutan baik daripada warga Felda dan temu bual pihak media bersama penduduk di beberapa kawasan Felda mengenai perkara itu.

“Sama-sama berdoa agar PERIKATAN NASIONAL diberi kepercayaan dan mandat untuk membantu generasi Felda,” ujarnya yang meneruskan aktiviti menziarahi peneroka Felda di kawasan DUN berkenaan.

Katanya, PERIKATAN NASIONAL menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menawarkan tujuh tawaran buat generasi Felda iaitu Projek Perumahan Generasi Baru Felda, Skim Keusahawanan Felda, isu pembelian saham Eagle Plantation oleh Felda, memulihkan Felda, tadbir urus Felda, program pembangunan peneroka dan Wawasan Felda Baharu.

Justeru, katanya menerusi aktiviti ziarah di samping warga emas dan orang sakit, beliau dapat berjumpa ‘buruh ladang’ yang pasti dikenali seluruh rakyat dengan pesanan yang bersahaja.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyatakan sokongan penuh anak-anak Chenor yang ingin melanjutkan pelajaran.

“Saban tahun, saya turut menyampaikan sumbangan kalian khususnya serta mengagihkan bantuan dari kerajaan negeri kepada anak-anak Chenor yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau memetik pepatah Arab menyebut: Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama yang baik dengan guru-guru di sekitar kawasan sedikit sebanyak membantu pihak kami untuk mendapatkan maklumat anak-anak yang memerlukan.

“Di samping mengingatkan mereka untuk merebut peluang bantuan dan tajaan dari pusat zakat dan yayasan, kami juga menjadi pemudah cara anak-anak yang mempunyai limitasi dalam mendapatkan pin, mengisi borang, memerlukan surat sokongan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau amat berharap agar anak-anak berjaya di lapangan masing-masing serta pulang ke kampung halaman menjadi tonggak keluarga dan masyarakat.

Pada PRU15, beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN tersebut dicabar Nor Hisham Mohd Suki daripada PH dan Saiful Anuar Mokhtar (BN).

Beliau mendapat 6,016 undi pada PRU14 lalu memenangi DUN Chenor dengan majoriti 514 undi menewaskan Dato’ Arifin Awang Ismail daripada BN dan Zuliana Mohamed (PKR). – HARAKAHDAILY 16/11/2022

- Advertisement -