Kebangkitan anak muda sokong PERIKATAN NASIONAL mengejutkan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Gelombang sokongan anak muda terhadap PERIKATAN NASIONAL dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) amat hebat dan mengejutkan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad, berkata sokongan anak muda adalah di luar jangkaan kerana selama ini mereka dianggap tidak peduli atau tidak kisah dengan soal politik dan tidak membuat apa-apa pendirian berhubung politik.

“Alhamdulillah, setakat ini kita melihat anak muda, khususnya di Parlimen Bagan Serai dan seluruh negara menunjukkan kebangkitan anak muda untuk bersama PERIKATAN NASIONAL.

“Walaupun ada yang ibu-bapa mereka tidak bersama PERIKATAN NASIONAL, tetapi anak-anak telah membuat satu pilihan, iaitu untuk bersama kita,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Teluk Seribu 1 di sini, malam tadi.

Idris yang bertanding di Parlimen Bagan Serai berkata, gelombang kebangkitan itu kerana anak muda hendak melihat satu kerajaan baharu dan satu bentuk kepimpinan baharu.

“Dulu anak muda dalam PRU14 telah membuat percubaan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pakatan Harapan (PH). Namun apabila PH menang, memang confirm (sah) tak boleh harap.

“Akhirnya, kita tengok anak muda kali ini membuat percubaan untuk bersama PERIKATAN NASIONAL. Umno yang memerintah selama 60 tahun, kita sudah tahu dan PH selama 22 bulan, kita telah tengok lagak yang mereka ada. Kali ini, memberikan peluang kepada PERIKATAN NASIONAL yang terasnya ialah PAS dan juga Bersatu,” katanya.

Idris mengakui bahawa sesetengah generasi tua bertanyakan lambang bulan yang tiada dalam PRU15 dan menerangkan bahawa walaupun tiada lambang bulan, tetapi dalam PERIKATAN NASIONAL tetap mempunyai lambang bulan.

Katanya, ahli dan penyokong PAS tidak perlu bimbang kerana dalam mana-mana gabungan politik yang disertai, PAS mempunyai sikap yang jelas, iaitu mempertahankan Islam serta kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Sebab itu kalau ada (parti politik) yang tidak boleh menerima perkara ini, kita tidak bersama (mereka). Sebab itu kita tinggalkan Pakatan Rakyat kerana DAP telah merobohkan dua perkara itu. Mereka melanggar apa yang patut mereka kena jaga.

“Dalam keadaan politik di negara kita, terasnya ialah orang Melayu dan kedua, Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dihormati,” katanya.

Datuk Idris Ahmad ketika berceramah di PDM Teluk Seribu 1
Idris (tengah) bersama calon PERIKATAN NASIONAL kawasan Dewan Undangan Negeri Selinsing, Sallehuddin Abdullah (kanan)

Idris turut membuka kisahnya ketika menjadi menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang selama lima tahun pada 2013 hingga 2018.

“Saya menjadi Ahli Parlimen pembangkang ketika itu. Satu sen pun tak dapat peruntukan kerajaan. Itulah (wang yang ada) saya belanjakan untuk rakyat, sama ada untuk kenduri kendara, sakit mati dan dengan bantuan kawan-kawan, isteri dan anak-anak, menantu dan parti sendiri, maka kita boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, khidmatnya untuk rakyat bermula sejak 1997 ketika bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Changkat Jering, iaitu ketika berumur 37 tahun selepas meletakkan jawatan sebagai pensyarah di UiTM dengan gaji ketika itu hampir RM5,000.

“Sejak 1997, saya berkhidmat untuk orang Bukit Gantang sehingga hari ini. Saya ingat sudah berjuta disumbangkan kepada masyarakat di sana. Itu dalam keadaan kita bukan kerajaan, kebetulan apabila saya dilantik sebagai anggota Kabinet, kita ada sikit peruntukan sebagai menteri sebanyak RM1 juta.

“Kebetulan saya bukan Ahli Parlimen, tidaklah banyak peruntukan macam Ahli Parlimen lain yang mempunyai peruntukan RM4.4 juta untuk pembangunan dan sebagainya.

“Apabila ada peruntukan, sudah tentulah khidmat kita lebih `steady’ lagi. Dalam keadaan kita tidak ada duit, kita berkhidmat untuk rakyat, apatah lagi apabila ada duit. Duit ini kita tak makan. RM1 juta bukan untuk saya, tapi untuk rakyat. Ini amanah orang, buat apa hendak ambil duit lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/202

- Advertisement -