
JERANTUT: PAS menjunjung prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Menurutnya, dengan sebab itu PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah satu gabungan yang tidak ekstrem.
“Kita mengambil pendekatan untuk melakukan penyatuan ummah, di mana penyatuan ummah itu bukan sekadar kita menyatukan entiti-entiti Melayu bumiputera di dalam negara ini.
“Apatah lagi kerana kaum Melayu bumiputra ini adalah kaum yang dominan, dikatakan statistiknya 60 peratus ke 70 peratus rakyat Malaysia adalah daripada kaum bumiputera,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PERIKATAN NASIONAL Pahang di dataran hadapan Majlis Daerah Jerantut di sini, malam tadi.
Manifesto yang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ itu dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Turut dan berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN negeri, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan negeri, Dato’ Seri Yap Kim Heng.
Tambah Khairil, PAS juga menerima penyatuan ummah daripada rakan-rakan bumiputera yang tidak ekstrem.
Menurutnya, adapun mereka yang ekstrem dan cuba membawa pendekatan baharu yang melanggar prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi Parlimen dengan cuba membawa Statut Rom dan ICERD yang mengganggu kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
“Ini semua adalah mimpi ngeri yang kita hadapi selama 22 bulan pemerintahan PH,” ujarnya yang bertanding di Parlimen Jerantut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Justeru, jelasnya kehadiran PN adalah untuk memberikan alternatif kepada kerajaan yang sedia ada dan sebelum ini
“Dan terbukti PN merupakan satu solusi yang terbaik kepada rakyat, dalam keadaan kita berhadapan dengan suasana Covid-19, unprecedented yang tidak pernah dilalui dan juga dihadapi oleh kerajaan sebelum ini.
“Alhamdulillah dengan pendekatan terbaik yang dilaksanakan PN, rakyat berasa selamat berada di dalam PN.
“Ramai di antara kita, boleh dikatakan keseluruhan daripada yang mengambil vaksin, alhamdulillah, dengan adanya vaksin, kita dapat bersama malam ini, boleh duduk rapat, amalkan budaya hidup sama untuk menjalani kehidupan kita dalam membangunkan ekonomi dan mengekalkan keamanan sejagat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/11/2022




















