PN jamin kestabilan, pertumbuhan ekonomi

Pelancaran manifesto PERIKATAN NASIONAL Pahang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ di Jerantut, malam tadi. Foto ihsan Facebook Saifuddin Abdullah.
- Advertisement -

JERANTUT: Kestabilan politik dan pentadbiran merupakan aspek penting dalam membangunkan pertumbuhan ekonomi rakyat Pahang, kata Pengerusi PERIKATAN NASIOAL Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurutnya, mustahil untuk memulihkan ekonomi tanpa kestabilan kerana tiada pelancong berminat untuk melancong ke Taman Negara, pantai-pantai indah di Pahang dan Fraser Hill jika negara porak-peranda, huru hara, dan tidak aman.

- Advertisement -

“Kestabilan politik akan menjamin pertumbuhan ekonomi, dan jika kita lihat dalam manifesto PERIKATAN NASIONAL Pahang, ada 12 tawaran, sebahagian besar itu kalau tidak sebut ekonomi pun, tetapi ia merujuk kepada keperluan ekonomi bagi rakyat Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto PERIKATAN NASIONAL Pahang di dataran hadapan Majlis Daerah Jerantut di sini, malam tadi.

Dalam majlis sama, Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan manifesto yang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar; Pengerusi Gerakan negeri, Dato’ Seri Yap Kim Heng dan calon PN Parlimen Jerantut yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Menurut Saifuddin, PERIKATAN NASIONAL adalah sebuah pasukan parti politik yang serius ingin berjuang untuk kepentingan rakyat Pahang. 

Katanya, walaupun PERIKATAN NASIONAL tidak pernah menang di Pahang, namun kerusi penyandang ada satu dalam Parlimen yang dimiliki Bersatu, lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki PAS dan 11 kerusi DUN yang ditandingi PAS kalah tipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita hanya perlu majoriti mudah daripada 42 kerusi (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri Pahang, dengan bantuan kerusi yang ditandingi kerusi Bersatu dan Gerakan, saya yakin (Pahang boleh dimenangi PERIKATAN NASIONAL),” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2022

- Advertisement -