
BAGAN SERAI: Kegigihan ahli PAS untuk memastikan kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Parlimen Bagan Serai, terserlah apabila seorang sukarelawan sanggup memanjat dua batang pokok kelapa untuk mengibarkan bendera gergasi PN.
Bagi Mat Termizi yang lebih dikenali sebagai Mat Wan Chik, semangat perjuangan bersama PAS yang disertainya ketika usia muda menyebabkannya sanggup memanjat untuk memasang bendera gergasi PN di Jalan Kampung Selinsing dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selinsing.
Malah bendera gergasi yang menggabungkan sembilan bendera berukuran 5 X 10 kaki itu turut dijahit oleh sukarelawan yang mahu menaikkan semangat sukarelawan jentera pilihan raya parti dan semua calon yang bertanding.
“Tanpa perang bendera, pilihan raya tak meriah. Pasang bendera ini sudah jadi tradisi,” kata Mat Termizi.


Sementara itu, Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad, yang bertanding atas tiket PN di Parlimen Bagan Serai, melahirkan kekagumannya terhadap semangat ahli PAS yang memanjat dua batang pokok kelapa.
“Cuba tengok atas pucuk kelapa nampak kepala halus sahaja. Pemanjat ini sudah berumur 51 tahun, tapi badan sado lagi. Dulu ada seorang lagi kawannya yang panjat, seorang sepokok. Kali ini, kawan dia sudah tidak larat, maka dialah yang panjat dua pokok. Saya tengok pun ngeri, tapi masyaAllah.
“Dia bagi tau saya, sudah tiga kali pilihan raya umum panjat pokok untuk menaikkan tali untuk gantung bendera. Saya tanya adakah dia kerja panjat kelapa? Tidak. Semoga Allah memelihara beliau dan dimurahkan rezeki,” katanya.
Beliau berkata, Mat Termizi adalah ahli PAS yang setia dengan perjuangan dan taat kepada pemimpin selagi pimpinan taat kepada Allah, Rasulullah dan parti. – HARAKAHDAILY 9/11/2022




















