
MARANG: Dua pemimpin Umno yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Arau dan Maran diisytiharkan sebagai calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan kerusi Parlimen Maran, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib dicalonkan mewakili PERIKATAN NASIONAL untuk mempertahankan kemenangan penggal lalu.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membuat pengisytiharan itu pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila, malam ini. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Dato’ Husain Awang, Pengerusi Bersatu negeri, Senator Dato’ Razali Idris dan Pengerusi Gerakan negeri, Wong Kim Su.
Shahidan yang hadir pada majlis itu turut menyampaikan ucapan ringkas.
Beliau adalah Menteri Wilayah Persekutuan sementara Ismail adalah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sementara itu, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengisytiharkan bakal calon-calon yang akan bertanding di lapan Parlimen negeri ini.
Mereka terdiri daripada enam penyandang iaitu Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Marang, Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Ustaz Che Alias Hamid (Kemaman), Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) dan Dato’ Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Dua muka baharu ialah Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Alias Razak di Parlimen Kuala Nerus dan Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut). – HARAKAHDAILY 3/11/2022




















