
PESURUHJAYA PAS Wilayah Persekutuan, USTAZ AZHAR YAHYA yakin jika umat Islam di Parlimen Batu bersepadu memberikan suara mereka di bawah lembayung PAS, insya-Allah PERIKATAN NASIONAL dapat membentuk satu signal di Wilayah Persekutuan dan Malaysia. Berikut petikan wawancara Pengarang Harakah SAIDAH HAIRAN bersama beliau yang juga calon P115 Parlimen Batu.
Harakah: Bagaimana jalinan kerjasama di antara PAS, Bersatu dan Gerakan di Wilayah Persekutuan?
Ustaz Azhar Yahya: Hubungan PAS, Bersatu dan Gerakan di Wilayah Persekutuan sangat baik. Beberapa program dan aktiviti telah dilakukan bersama. Kita sudah berada di kemuncak persiapan. Semua bilik gerakan yang PERIKATAN NASIONAL bertanding, sudah siap peralatan kempen pilihan raya. Jentera PERIKATAN NASIONAL Wilayah Persekutan sudah bersiap sedia, hanya menunggu masa untuk diumumkan melakukan gerak kerja bagi meneruskan jihad pilihan raya, insya-Allah.
Bagaimana dengan pembahagian kerusi?
Pembahagian kerusi telah selesai dan dapat dilakukan dengan adil. Adil itu bukan sama rata tetapi sesuai dengan kemampuan parti masing-masing.
Kerusi Melayu di Wilayah Persekutuan ada lapan manakala bukan Melayu ada lima kerusi. PAS bertanding pada pilihan raya kali ini bukan seperti Pilihan Raya Umum ke-14. Masa itu PAS sendiri. PAS bertanding di semua kerusi parlimen. Konsep pilihan raya kali ini, PAS bertanding di tempat yang kita rasa ada harapan menang dan boleh menang. Jadi PAS Wilayah menumpukan empat kerusi Melayu sahaja. Manakala kerusi bukan Melayu diserahkan kepada Gerakan dan Bersatu.
Bersatu dan Gerakan akan berkongsi lima kerusi di tempat yang ramai pengundi bukan Muslim. Insya-Allah, kita akan terus meletakkan calon PERIKATAN NASIONAL di semua kerusi walaupun ada orang kata, tidak guna lawan di Wilayah, mesti kalah. Ini bukan isu kalah atau menang, tetapi isu maruah PERIKATAN NASIONAL. Kita akan berjuang di semua tempat tersebut.
PAS mendapat empat kerusi di kawasan Melayu iaitu Parlimen Titiwangsa, Lembah Pantai, Batu dan Wangsa Maju. Empat kerusi ini saya rasa sesuai dengan kemampuan PAS. Kita bersetuju apa yang telah diputuskan oleh pihak pimpinan tertinggi parti. Perundingan berlaku dalam suasana yang sangat harmoni. Kita berunding di peringkat Wilayah dan kita bentang cadangan tersebut bersama dengan kepimpinan di hadapan pimpinan PERIKATAN NASIONAL Pusat. Proses itu melalui beberapa tapisan dan kita berpuas hati. Sebenarnya, masing-masing sudah selesa dengan gerak kerja tersebut. Labuan akan ditandingi oleh calon parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Wawancara penuh dalam Harakah Cetak edisi 2796.











