
KOTA BHARU: Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disahkan bertanding di kerusi Parlimen Machang bagi membawa misi untuk merampas kawasan berkenaan yang dikuasai BN sejak dua penggal lepas.
Seorang peguam Zahari Kechik pula menggantikan Dato’ Seri Mustapa Mohamed bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada pilihan raya umum ke-15, 19 November ini.
Kedua-dua calon tersebut mewakili Bersatu yang akan bertanding menggunakan logo PAS. Manakala PAS pula menampilkan dua calon baharu iaitu Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi menggantikan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi di Parlimen Tumpat.
Perkembangan itu diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PERIKATAN NASIONAL Negeri Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.
Selain itu Mohd Syahir Che Sulaiman menggantikan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di kerusi Parlimen Bachok. Beliau merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS. Nik Abduh turut hadir malam ini. (Foto atas)
Calon baharu yang ditampil juga mewakili Bersatu iaitu Mejar Jeneral (B) Mohd Khilir Mohd Nor di Parlimen Ketereh, manakala Mohd Azizi Abu Naim, 50, di Gua Musang.
Manakala calon-calon penyandang kekal di kerusi masing-masing iaitu Datuk Ahmad Marzuk Shaary di Pengkalan Chepa, Datuk Seri Takiyudfin Hassan di Kota Bharu, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian), Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).
Selain itu, Dato’ Seri Ikmal Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (Pasir Puteh) dan Abdul Latif Abdul Rahman (Kuala Krai).
Selepas pengisytiharan bakal calon-calon itu, Tuan Ibrahim dan Wan Ahmad Fayhsal menyampaikan ucapan sebagai mewakili parti masing-masing. – HARAKAHDAILY 2/11/2022




















