Kehadiran Shahidan beri peluang cerah PN di Arau

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Pusat yang akan menentukan sama ada
Dato’ Seri Shahidan Kassim diberi ruang bertanding mewakili PN pada
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, peluang masih terbuka untuk Shahidan bertanding mewakili PN selepas digugurkan sebagai calon BN Parlimen Arau.

Katanya, langkah tersebut akan menjadi jambatan ke arah penyatuan ummah yang PAS usahakan selama ini.

“Kita PN peringkat negeri tiada masalah untuk memberi laluan sekiranya PAS Pusat dan PN Pusat tidak menjadi halangan, kita pun akan terima.

“Kita tidak dapat membuat sebarang keputusan, hanya memaklumkan PN negeri memberi laluan kepada Dato’ Seri Shahidan bertanding di kerusi tersebut,” katanya di sini hari ini.

Shahidan digugurkan daripada mempertahankan keusi parlimen Arau yang diwakili sejak empat penggal. Malah pada pengumuman calon PN malam tadi nama calon PN bagi parlimen Arau belum diumumkan.

Parlimen Arau diberi peluang kepada PAS bersama kerusi parlimen Pandang Besar yang akan diwakili Rusydan Rusmi, manakala calon dari Bersatu Zakri Hassan akan bertanding di parlimen Kangar.

Shahidan lebih 30 tahun terbabit dalam politik dan menguasai Parlimen Arau bermula dari PRU 1986, PRU 1990, 2013 dan 2018. Beliau juga pernah dilantik Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Beliau tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan Allahyarham Dato’ Dr Haron Din dan Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin pada 2004 di DUN Tambun Tulang, 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Arau).

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, kehadiran Shahidan bersama PN akan memberi kelebihan kerana pengaruhnya yang begitu besar di Arau dan Perlis.

“Penyertaan Shahidan bersama PN di Parlimen Arau akan membuka lebih peluang lebih cerah untuk memang di kawasan berkenaan,” katanya yang akan mempertahankan Dun Sanglang.

Menurutnya juga usaha ke arah penyatuan ummah akan digerak berterusan dan bukan sekadar ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). – HARAKAHDAILY 2/11/2022

- Advertisement -