Orang-orang yang tertipu

- Advertisement -

PERNAHKAH kita duduk merenung mengenai kehidupan ini dan mengenai diri kita? Kenapa kita diciptakan?

- Advertisement -

Sebahagian kita tidak tahu, apakah tujuan kita diciptakan. Yang mereka tahu, memikirkan bagaimana untuk memenuhkan perut mereka dan apa yang ada di bawah perut mereka. 

Ketika Allah S.W.T menciptakan manusia, Allah S.W.T  tidak meletakkan manusia di muka bumi ini. Allah S.W.T meletakkannya di syurga. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Maka, Kami berfirman: Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu, oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam syurga itu dan tidak akan bertelanjang.

“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari.”

(Taha : 117 – 119)

Allah S.W.T membenarkan Adam A.S menikmati apa sahaja yang ada di syurga bersama isterinya Hawa. Mereka hidup dengan penuh nikmat.

Mereka cuma dikenakan satu peraturan, di mana Allah S.W.T berpesan, agar jangan mendekati pohon ini, pohon kuldi. Semua yang lain, Adam A.S bebas memakannya tanpa merisaukan akibatnya. Adam A.S tidak perlu risau akan kelaparan, kebosanan dan kepenatan tetapi ternyata Iblis tidak pernah berhenti menggoda Adam A.S dan isterinya yang ternyata Adam A.S akhirnya tergoda oleh Iblis:

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata, “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

“Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”

(Taha: 120 -121)

Siapa yang tidak mahu berkekalan dalam kenikmatan selama-lamanya seperti pujukkan syaitan. Kerana terpedaya, pohon yang dilarang didekati oleh Allah S.W.T, akhirnya didekati Adam A.S. Dengan itu, berapa banyak larangan-larangan Allah S.W.T yang kita langgar semata-mata kerana bisikkan syaitan dan hawa nafsu sendiri. Kita tahu cerita Adam A.S yang akhirnya, diturunkan dari syurga kerana kesalahan yang dilakukannya, tetapi adakah kita mengambil pelajaran darinya?

Mereka telah dihukum diturunkan dari syurga. Bagaimana kita? Berulang kali melakukan dosa-dosa tetapi tidak merasai ianya satu kesalahan. Kita melakukan dosa secara sembunyi-sembunyi tanpa ada orang yang melihatnya, tetapi manusia lupa yang Allah S.W.T sentiasa mengawasinya.  Dan bila ditanya, “kamu  ingin masuk syurga? Semuanya pasti menjawab, ‘ingin’.

Tetapi ramai di kalangan kita tidak berada di atas landasan yang akan menghantarnya ke syurga. Allah S.W.T berpesan kepada Nabi Adam Ketika sudah diturunkan dari syurga:

“Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.

“Allah berfirman, “Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.””

(Taha: 122 – 123)

Inilah kitabnya, al-Quran, sesiapa yang mengikutinya, tidak akan pernah tersesat hingga sampai ke tujuan. Tanyalah diri kita, berapa banyak kita sudah membaca, memahaminya dan mengamalkannya. Hari ini, berapa muka surat yang kita sudah baca? Berapa jam masa yang kita sudah luangkan untuk membaca kitab yang akan menghantar kita ke syurga? 

Allah S.W.T mengatakan kitab al-Quran, tiada sedikit pun keraguan di dalamnya:

“Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan mengenai sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

(Al-Baqarah: 2)

Sebahagian kita sibuk mencari dunia, menuntut ilmu untuk mencari dunia, silakan tidak terlarang. Tetapi kena tanya diri, berapa lama kita akan hidup di dunia ini? Berbaloikah kita berjuang mati-matian mengejar dunia sekadar untuk kehidupan yang bakal kita tinggalkan. 

Sebahagian kita benar-benar tidak peduli dengan al-Quran. Dalam Islam tiada paksaan dalam beragama sehingga Allah S.W.T ada berfirman yang bermaksud:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.””

(al-Kahfi: 29)

Allah S.W.T tidak perlu kepada ibadah kita, Allah S.W.T tak perlu kita datang ke masjid dan Allah S.W.T tidak perlu pada amal soleh kita sebagaimana Allah S.W.T ingatkan lagi dalam firman-Nya Di bawah, tetapi kitalah yang memerlukan Allah S.W.T untuk kembali ke syurga-Nya:

“….Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal)….”

(Muhammad: 38)

Allah S.W.T turunkan al-Quran, Allah S.W.T utuskan para Nabi dan diwarisi oleh para ulamak untuk disampaikan kepada ummah. Bagi mereka yang tidak menerima petunjuk Allah S.W.T, Allah S.W.T telah menyediakan bagi mereka kehidupan yang sempit dan sengsara, walaupun ia seorang ketua atau orang-orang terhormat dan berharta di dalam masyarakat.

Sebahagian orang berfikir, mereka akan bahagia dengan memiliki harta melimpah ruah, dengan menjadi orang yang popular, dengan takhta dan kedudukan. Tidak! Semua ini bukan jaminan untuk bahagia. Allah S.W.T telah menjanjikan kehidupan yang sengsara bagi mereka yang tidak mahu mengambil petunjuk Allah S.W.T:

Dikuatkan lagi dengan Hadis Nabi S.A.W, dari Zaid bin Tsabit R.A, ia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah S.W.T akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya…”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Majah no 4105, Ibnu Hibban no 72 Dan al-Baihaqi)

Apabila seorang hamba menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya dan mengesampingkan urusan akhiratnya, maka Allah S.W.T akan menjadikan urusan dunianya tercerai-berai, berantakan, serba sengsara, serta menjadikan hidupnya selalu diliputi kegelisahan. Allah S.W.T juga menjadikan kefakiran di depan matanya, selalu takut miskin,  takut tahtanya hilang, takut sakit, takut kemahsyurannya hilang dan hatinya tidak pernah merasa cukup dengan rezeki yang Allah S.W.T kurniakan, lalu jiwanya terus sakit. Di mana-mana sekarang di ruangan media menceritakan ramainya orang yang sakit jiwa, sedangkan mereka dikelilingi dengan keseronokan hiburan dan sebagainya.

Kenapa terjadi begini? Dan susah untuk melakukan ketaatan? Kerana mereka berpaling dari petunjuk Allah S.W.T:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.

“Ia berkata, “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

“Allah berfirman, “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.””

(Taha: 124-125)

Jadi kita kena baca al-Quran dan mendalami ilmu al-Quran agar kita tahu jalan yang akan menghantarkan kita balik ke syurga Allah S.W.T dan terhindar dari orang-orang yang tertipu.

Kesimpulannya

Islam adalah agama yang membawa ajaran serta cara hidup sempurna meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan.

Islam mewajibkan umatnya, menuntut ilmu agar memahami mengenai hidup beragama dan terjauh dari ditipu daya oleh syaitan, hawa nafsu dan musuh-musuh Islam.

Allah S.W.T menyempurnakan Islam melalui pengutusan Rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Kesyumulan ajaran Islam bukan saja khusus kepada amalan ritual keagamaan, tetapi merangkumi tatacara kehidupan yang lain seperti kekeluargaan, sosial, ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan, perundangan dan lain-lain.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah S.W.T kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah S.W.T menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah S.W.T itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah S.W.T selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah S.W.T menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

(Ali-Imran: 103)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 2/11/2022

- Advertisement -