Felda bukan lagi deposit tetap Umno

- Advertisement -

KOTA BHARU: Generasi kedua dan ketiga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka tidak lagi memberi sokongan kepada Umno, malah golongan itu tidak lagi fokus kepada hanya satu parti.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, suasana politik sekarang sudah berubah selepas kawasan itu bukan lagi deposit mudah bagi Umno bermula tahun 1999.

Katanya beliau pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) tahun 1999 menjadi bukti kejayaan PAS memenangi beberapa kerusi.

“Saya fikir ia sudah berubah satu masa dahulu memang Felda deposit Umno tahun 1999 saya bertanding di Felda Jengka, Jengka ada 10 peti undi, sembilan semuanya alhamdulillah saya menang.

“Malah banyak lagi kawasan lain di Pahang, kita menang lapan kerusi dan tujuh itu semua kawasan Felda, jadi Felda bukan lagi deposit Umno kerana generasi baru tidak fokus satu parti,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Karnival KASA 2022 @ Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kasa, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang; anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan), Dr Ching Thoo Kim.

Penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian itu turut ditanya mengenai sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL termasuk golongan belia yang meluat terhadap politik yang tidak menguntungkan rakyat.

Malah katanya PERIKATAN NASIONAL tampil pada PRU15 dengan semangat baru serta berbeza dengan gabungan parti lain yang terbukti gagal sepanjang tempoh pemerintahan sebagai kerajaan.

Menurutnya juga BN terus dibayangi dengan pemimpin terlibat kes rasuah dan sedang dibicarakan di mahkamah serta pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

“Saya tengok mood positif PN, saya turun di mana mana pun dari segi sambutan orang ramai, anak muda mereka bosan dengan kes mahkamah rasuah dan kegagalan 22 bulan PH rakyat sudah rasai semua.

“Kita harap melalui PN merupakan kerajaan yang baru kepada pilihan rakyat untuk melihat masa depan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2022

- Advertisement -