
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan pengalaman berada dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) ‘sangat berlainan dan amat luar biasa’ berbanding ketika berada dalam Kabinet sebelum ini.
Menurut Pengerusi PERIKATAN NASIONAL itu, tekanan yang diterima daripada menteri-menteri PH amat luar biasa dan lebih memburukkan keadaan.
Tambahnya, banyak permintaan mereka boleh membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
“Sebab itu saya beritahu Tun Dr. Mahathir Mohamad kita tidak boleh berada lama bersama PH, lagi lama Bersatu dalan PH, lagi merosot sokongan orang Melayu kepada kita,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Justeru, tegasnya beliau tidak akan sesekali mengkhianati bangsa, agama dan negara sekalipun ditekan pelbagai cara oleh musuh politik termasuk dengan gelaran pengkhianat.
“Saya rela digelar sebagai pengkhianat oleh PH daripada menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya
Pada program Jelajah Prihatin Perikatan Nasional di Putrajaya, malam tadi beliau truut menyentuh perkara yang sama.
Katanya, beliau dan Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menjawab tuduhan kononnya Bersatu menjadi dalang dalam Langkah Sheraton sehingga tumbangnya kerajaan PH.
Mengenai program jelajah itu, Muhyiddin melahirkan rasa gembira melihat sambutan hangat daripada warga Putrajaya yang datang untuk mendengar penerangan dan penjelasan tentang keberadaan PERIKATAN NASIONAL dalam politik negara.
“Saya mengulangi apa yang pernah saya sebut sebelum ini bahawa keberadaan kita adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat merencanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat.
“Saya percaya apabila hal ehwal negara diurus dan ditadbir dengan betul, beramanah dan bertanggungjawab, rakyat sudah tentu akan dapat menikmati hidup dengan lebih selesa dan selamat, bukan hanya untuk generasi kita, malah untuk anak cucu kita sekali.
“Bagi mencapai cita-cita ini setiap daripada kita perlu menggunakan hak mengundi pada 19 November depan untuk memilih sebuah parti iaitu PERIKATAN NASIONAL yang faham dan berupaya membela nasib hidup rakyat,” tambahnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri kelapan itu juga menyeru ibu bapa agar dapat memainkan peranan menyedarkan anak-anak yang sudah layak, keluar mengundi dan memilih PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam keadaan apa sekali pun. – HARAKAHDAILY 27/10/2022




















