
KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) telah memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen di Semenanjung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu tarikh akan ditetapkan bagi setiap PN negeri untuk mengumumkan calon yang bertanding pada PRU15, lapor portal bersatu.org.
“Kita akan tetapkan tarikh untuk setiap PN negeri mengumumkan bukan sahaja kerusi tetapi calon-calon yang kita telah putuskan.
“Semuanya atas nama PN dan kita telah buat peraturan setiap kawasan-kawasan itu bilik operasi semuanya atas satu bumbung PN,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PN di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan satu arahan agar semua parti dalam gabungan PN untuk saling membantu dalam PRU15.
“Kalaupun calon di situ adalah Bersatu, maka PAS dan Gerakan akan membantu.
“Ini untuk memperkukuhkan langkah-langkah dan menentukan jentera kita mantap ikut kawasan masing-masing. Itu yang telah kita muktamadkan tadi,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu.
Muhyiddin juga melahirkan kesyukuran kerana tidak ada perkara yang luar biasa berlaku dalam perbincangan pembahagian kerusi.
“Saya rasa bersyukur kerana tidak ada satu perkara yang agak luar biasa berlaku, semua atas semangat setia kawan dalam PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2022











