
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Jentera pilihan raya PAS akan membantu Bersatu sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) dapat menguasai sepenuhnya 14 kawasan parlimen di Kelantan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini PAS membantu setiap rakan kongsi politik termasuk Parti Melayu Semangat 46 dan PKR bagi membolehkan calon parti itu menang pada PRU sebelum ini.
“Apabila mereka bersama kita, maka kita akan bantu mereka. Sama-sama buat kerja, tolong-menolong antara satu sama lain.
“Begitu juga dengan Bersatu sekarang kita tetap membantu, lebih-lebih lagi sudah diputuskan calon Bersatu juga akan bertanding menggunakan logo PAS,” katanya di sini.
Ditanya kemungkinan PAS Kelantan akan menghantar petugas membantu calon PN di negeri-negeri lain, kata beliau perkara itu belum lagi dibincangkan.
Menurutnya juga setakat ini jentera PAS dan Bersatu lebih tertumpu kepada 14 kawasan parlimen yang terdapat di Kelantan.
“Jentera yang bertugas untuk Parlimen dan DUN adalah orang yang sama,” ujarnya.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, gelombang ahli dan penyokong Umno keluar parti dan ada antaranya menyertai Bersatu merupakan perkembangan yang menarik.
Katanya, perkembangan yang berlaku itu begitu baik ketika musim kempen pilihan raya kerana memperlihatkan penyokong Umno menolak parti mereka sendiri.
Baru-baru ini, lebih 500 bekas ahli dan penyokong Umno di Bachok mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai Bersatu.
Bersatu dijangka bertanding di kawasan parlimen yang dimenangi BN pada PRU lepas iaitu Machang, Gua Musang dan Ketereh serta mempertahankan parlimen Jeli dan Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 25/10/2022




















