Iktibar agung surah al-Isra’ (14)

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menceritakan mengenai kisah penciptaan Nabi Adam A.S dan bagaimana malaikat dan iblis yang ada di langit pada ketika itu diperintahkan untuk sujud kepada Nabi Adam. Seluruh malaikat sujud kepada Nabi Adam melainkan iblis. Alasannya adalah kerana ia berasa dirinya lebih baik dari segi kejadiannya berbanding dengan Nabi Adam. Iblis diciptakan daripada api manakala Nabi Adam diciptakan daripada tanah liat. 

- Advertisement -

Oleh sebab itu, iblis dilaknat oleh Allah dan dihalau keluar dari syurga dan nikmat Tuhan. Lalu iblis meminta izin dengan Allah untuk menggoda dan menghasut anak-anak Nabi Adam supaya melawan Allah, tidak mengikut ajaran agama dan akhirnya menjadi kufur. Allah memberi peluang kepada iblis untuk berbuat sedemikian sehingga hari kiamat. Walau bagaimanapun, iblis boleh cuba menggoda manusia kecuali hamba Allah yang ikhlas iaitu yang taat pada perintah-Nya dan semata-mata mencari keredhaan-Nya.

Tanda bagi sifat Ar-Rahim Allah S.W.T

رَبُّكُمُ الَّذِيْ يُزْجِيْ لَكُمُ الْفُلْكَ فِى الْبَحْرِ لِتَبْتَغُوْا مِنْ فَضْلِهٖۗ اِنَّهٗ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا

“Tuhanmulah yang melayarkan kapal-kapal di lautan untukmu, agar kamu mencari kurnia-Nya. Sungguh, Dia Maha Penyayang terhadapmu.”

(al-Isra’: 66)

Antara nikmat yang Allah kurniakan agar kita dapat meneruskan kehidupan di dunia ialah kita mampu mencipta kapal yang boleh bergerak di atas lautan. Walaupun air yang banyak tetapi kapal tidak tenggelam. Manusia boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain merentas laut atau sungai dengan menggunakan kapal tersebut. 

Mengikut teori sains, apabila kapal masuk ke dalam air, udara masuk memenuhi ruang kapal, jadi kapal tidak akan tenggelam. Kecuali kapal selam yang sengaja dibuat untuk menyelam. 

Sebagai contoh, orang pada zaman dahulu yang pergi ke laut untuk menangkap ikan memerlukan kapal, perahu, bot dan sebagainya. Kapal juga boleh menjadi suatu pengangkutan membawa barangan seperti kontena dari suatu benua atau pelabuhan. 

Ini merupakan tanda kasih Allah kepada kita. Sekiranya tiada kapal, macam mana kita nak bergerak di atas laut? Sudah tentu kita akan mengalami kesukaran untuk terpisah dari satu daratan dengan daratan yang lain dan kita juga tidak dapat pergi ke pulau atau benua dalam jarak yang jauh. 

Manusia sering kembali kufur nikmat setelah memperolehi kesenangan

وَاِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِى الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُوْنَ اِلَّآ اِيَّاهُۚ فَلَمَّا نَجّٰىكُمْ اِلَى الْبَرِّ اَعْرَضْتُمْۗ وَكَانَ الْاِنْسَانُ كَفُوْرًا

“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang (biasa) kamu seru, kecuali Dia. Tetapi ketika Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari-Nya). Dan manusia memang selalu ingkar (tidak bersyukur).”

(al-Isra’: 67)

Orang kafir yang menyembah berhala seperti batu tidak akan bergantung pada berhalanya tetapi bergantung pada Tuhan yang sebenar iaitu Allah apabila berdepan dengan gelombang di laut. Hanya Allah sahajalah yang boleh menyelamatkan kita. Contoh lain adalah jika bot karam, berdepan dengan ombak besar atau berada dalam kapal terbang. 

Oleh sebab itu, kebiasaannya orang yang berjalan pada waktu malam berpandukan bintang di langit. Dia tidak berjalan pada waktu siang kerana tiada tanda kelihatan. Begitu juga dengan orang yang hidup di padang pasir seperti laut terbentang luas. Pada zaman kini, orang menggunakan kompas sebagai panduan. 

Sebagai contoh, menaiki bot dari Kuala Besar selepas Maghrib menuju ke Pulau Sebatu. Pengemudi boleh membawa bot tersebut dalam waktu gelap malam. Dia selalu memerhati langit sahaja tanpa menyalakan lampu. Allah memberikan kelebihan kepada manusia untuk berjalan dengan berpandukan alam. Orang pada zaman dahulu yang pergi ke laut apabila ingin pulang dia akan melihat bintang. Dia juga mengetahui akan desiran angin yang menandakan hari nak hujan. 

Inilah sikap orang-orang kafir yang terdesak ketika berhadapan dengan gelora, mereka sudah tidak meminta dengan berhala sembahannya tetapi meminta dengan Allah. Sebab mereka mengetahui bahawa berhala itu dicipta oleh mereka sendiri. Namun apabila Allah menyelamatkan mereka, mereka kembali kufur. 

Inilah perangai manusia. Ketika mereka berada dalam kesusahan, barulah ada di masjid dan mengajak tok imam supaya melakukan solat hajat untuk mereka. Setelah selesai masalah, waktu solat Jumaat pun tidak hadir ke masjid. 

Kufur dalam ayat ini tidak merujuk kepada kafir tetapi merujuk kepada kufur nikmat. Sebahagian orang-orang Islam apabila menghadapi kesusahan, mereka akan mencari Allah. Namun apabila masalah sudah selesai, solat pun tidak. Orang Islam masih dikira sebagai Islam sekiranya mereka mengucap syahadah, percaya kepada Allah, percaya kepada Nabi namun sifatnya sahaja yang kufur. 

Kufur menandakan bahawa kita tidak berterima kasih dengan Allah. Jika kita tidak menggunakan nikmat-Nya dengan baik, kita sebenarnya sudah kufur. Allah memberikan kekayaan namun kita tidak mengeluarkan zakat, tidak bersedekah, tidak menolong orang lain, tidak belanja orang lain di kedai dan sebagainya. 

Sebagai contoh, apabila kita memperoleh nikmat dan belanja orang lain, itu menandakan bahawa kita bersyukur. Dengan tubuh badan yang sihat, kita melakukan perkara yang baik. Rajin solat jemaah, suka menolong orang, menyampaikan ilmu yang kita ada bukan berasa ilmu sendiri lebih baik atau hanya tahu komen sahaja dan tidak memanfaatkan peluang untuk membetulkan masyarakat. 

اَفَاَمِنْتُمْ اَنْ يَّخْسِفَ بِكُمْ جَانِبَ الْبَرِّ اَوْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ثُمَّ لَا تَجِدُوْا لَكُمْ وَكِيْلًا ۙ

“Maka apakah kamu merasa aman bahawa Dia tidak akan membenamkan sebahagian daratan bersama kamu atau Dia meniupkan (angin keras yang membawa) batu-batu kecil? Dan kamu tidak akan mendapat seorang pelindung pun.”

(al-Isra’: 68)

Dalam ayat ini Allah bertanya kepada manusia, adakah mereka berfikir bahawa sudah tiada gelombang besar, ribut besar atau berasa selamat dengan azab Allah? Adakah mereka tidak terfikir bahawa Allah boleh menggoncang bumi sehingga berlakunya gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya? 

Bala bukan sahaja ada di laut bahkan ada di darat atau muncul daripada langit. Berkemungkinan bala muncul dalam bentuk gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, hakisan, hujan batu dan sebagainya. Seperti yang menimpa umat Nabi terdahulu kaum Tsamud dan kaum ‘Ad yang ditimpa hujan batu sehingga memusnahkan rumah. 

Sifat ribut tidak terfikir dek akal kita, bagaimana Allah mengaturnya? Jenis keadaan rumah yang musnah akibat ribut pun tidak serupa antara satu sama lain. Ada yang tercabut bumbung sahaja dan ada yang musnah keseluruhannya. Inilah kehebatan Allah yang menunjukkan kuasa-Nya sehinggakan ribut pun seolah-olah boleh berfikir. 

Dalam laporan kaji cuaca, angin ribut di Kelantan yang berpusing-pusing telah melencong ke arah lain apabila sampai ke laut. Kelantan ialah negeri yang berisiko tinggi sebab pulau tiada di pantai kita. Pulau kita semua di atas darat seperti Pulau Belacan, Pulau Melaka, Pulau Belanga, Pulau Kapas dan Pulau Hong Kong. Jika ribut taufan muncul dari laut, kita langsung tiada benteng. Namun sejak dahulu lagi tiada ribut besar menyerang Kelantan. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah berkat wali-wali atau orang alim. Dengan berkat doa dan munajat mereka, Allah menjaga negeri kita:

اَمْ اَمِنْتُمْ اَنْ يُّعِيْدَكُمْ فِيْهِ تَارَةً اُخْرٰى فَيُرْسِلَ عَلَيْكُمْ قَاصِفًا مِّنَ الرِّيْحِ فَيُغْرِقَكُمْ بِمَا كَفَرْتُمْۙ ثُمَّ لَا تَجِدُوْا لَكُمْ عَلَيْنَا بِهٖ تَبِيْعًا

“Ataukah kamu merasa aman bahawa Dia tidak akan mengembalikan kamu ke laut sekali lagi, lalu Dia tiupkan angin taufan kepada kamu dan ditenggelamkan-Nya kamu disebabkan kekafiranmu? Kemudian kamu tidak akan mendapatkan seorang penolong pun dalam menghadapi (seksaan) Kami.”

(al-Isra’: 69)

Allah mengungkit agar orang yang tidak percaya kepada Allah sentiasa berfikir. Oleh sebab itu, kita tidak boleh berasa senang dengan azab Allah. Jika kita berperangai jahat, melakukan perkara yang tidak baik atau ibadah tidak mencukupi, jangan kita berasa diri terselamat. Sebab kita tidak tahu dan kemungkinan Allah membiarkan kita laghaterlebih dahulu kemudian Dia akan menimpakan bala sekaligus terhadap kita. 

Bala boleh muncul dalam pelbagai cara seperti kemalangan, penyakit dan sebagainya. Cara Allah bertindak adalah penuh dengan misteri yang tidak boleh diduga oleh manusia. 

Oleh sebab itu, kita tidak boleh sentiasa berasa senang-lenang kerana kita tidak mengetahui bila waktu bala akan diturunkan. Jadi, kita disarankan untuk meminta perlindungan daripada-Nya dengan membaca doa seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ الْبَلَاءِ وَدَرَكِ الشَّقَاءِ وَسُوءِ الْقَضَاءِ وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ

“Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari beratnya musibah yang tak mampu ditanggung, dari datangnya sebab-sebab kebinasaan, dari buruknya akibat apa yang telah ditakdirkan, dan gembiranya musuh atas penderitaan yang menimpa.” 
[1]

Doa ini merupakan doa yang disuruh oleh Nabi Muhammad S.A.W. Kebiasaannya adalah Nabi ajarkan doa tetapi yang ini Nabi menyuruh kita berdoa. Melalui doa ini bererti kita meminta perlindungan daripada bala berat yang tidak mampu ditanggung, kecelakaan yang berat serta qada’ dan qadar yang buruk. 

Kemuliaan diberi kepada manusia berbanding makhluk-makhluk lain

۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِيْٓ اٰدَمَ وَحَمَلْنٰهُمْ فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنٰهُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ وَفَضَّلْنٰهُمْ عَلٰى كَثِيْرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلًا

“Dan sungguh, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka di atas banyak makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”

(al-Isra’: 70)

Antara banyak makhluk yang ada di atas muka bumi, kita adalah satu-satunya makhluk yang Allah berikan kemuliaan. Terdapat beberapa kemuliaan yang ditunjukkan, antaranya adalah seperti berikut:

1. Ketika malaikat sujud kepada Nabi Adam.

Tiada makhluk lain di mana malaikat disuruh supaya sujud melainkan kepada manusia. Begitu mulia kejadian manusia sehinggakan malaikat yang tidak berbuat dosa, tidak melawan Allah, tidak melanggar perintah Allah dan tidak membantah Allah pun disuruh sujud kepada Nabi Adam. 

Kalau nak dibuat perbandingan, kita sebagai manusialah yang sepatutnya sujud kepada malaikat kerana sikap kita. Contohnya malas solat atau tidak solat langsung, puasa pun kadang tidak mencukupi, melakukan maksiat, melanggar perintah-Nya, merungut terhadap qada’ dan qadar-Nya. Sedangkan malaikat tidak pernah derhaka kepada Allah. Andai disuruh agar sujud, malaikat akan sujud selama 24 jam. Begitu juga andai disuruh agar rukuk, qiam dan bertasbih. 

Makhluk lain seperti binatang pun tidak melawan Allah dan tidak melanggar Sunnatullah. Lembu tidak pernah merungut perihal haknya kepada SUHAKAM, kambing tidak merungut andai kita memasak, membakar dan memakannya atau ayam juga tidak merungut andai kita mengambil telurnya dan menjual serta menyembelihnya. Kitalah satu-satunya makhluk yang boleh melawan Allah tetapi Allah menyuruh agar malaikat sujud kepada kita. 

2. Ketika ditiupkan roh kepada Nabi Adam.

Setelah Nabi Adam diciptakan daripada tanah liat, ditiupkan roh kehidupan ke dalam tubuhnya. Ada riwayat yang mengatakan bahawa setelah itu Baginda bersin kemudian berdiri sambil melihat ke kiri dan kanan. Dalam keadaan yang tidak tahu apa-apa, Allah bercakap dengannya dan memberikan nama Adam. Sebab Baginda diciptakan daripada tanah yang gelap. Campuran tanah tersebut menghasilkan anak-anak yang terdiri daripada rupa yang pelbagai warna. 

3. Nabi Adam diberikan akal.

Akal tidak diberikan kepada makhluk lain. Fikiran malaikat tidak serupa dengan manusia apatah lagi binatang. Semasa almarhum Tuan Guru Nik Aziz mengajar dahulu, beliau menyebut bahawa kita boleh mengajar beruk untuk memanjat dan mengambil kelapa muda dan tua. Tetapi untuk mengajar anaknya, beruk tidak pandai dan mesti kita juga yang mengajar. 

Akal memberi kelebihan kepada manusia. Ilmu itu bergantung pada akal. Oleh sebab itu, orang yang tidak berilmu umpama orang yang tiada akal. Orang yang berbuat perkara yang pelik disebut sebagai orang yang hilang akal atau gila. Dia tidak dikenakan hukuman jika dia tidak menunaikan solat atau membunuh orang kerana dia tiada akal. 

Akal membolehkan manusia untuk mengenal sesuatu. Allah mengajar Nabi Adam satu-satu benda. Apabila Allah memanggil malaikat dan menanyakan akan benda sekian sekian, malaikat tidak dapat menjawabnya kerana ia tidak mempunyai ilmu mengenai benda tersebut. 

Sampai hari ini kita boleh menguasai alam melalui sains dan teknologi. Kita boleh pergi ke sesuatu tempat dengan menaiki kapal terbang dalam tempoh yang singkat. Kemudahan yang ada kita boleh manfaatkannya. Binatang seperti harimau pun boleh dijadikan sarkas. 

Manusia juga boleh menguasai manusia lain dengan kekuatan rohaninya yang tinggi melalui jiwa sahaja. Dalam sains ada istilah telekinetik di mana seseorang itu boleh mengangkat benda dengan fikirannya. 

Wali Allah pula lagi hebat seperti Junaid yang boleh berjalan di atas air dan Rabiatul Adawiyah yang boleh terbang. Ada juga antara kita yang boleh pergi ke Makkah pada setiap hari Jumaat dengan kehendak-Nya. Maka, rohani yang tinggi boleh mengatasi segala peraturan alam. 

Kita yang tidak boleh pergi adalah kerana kita terhalang oleh peraturan alam iaitu ruang dan masa. Sebagai contoh, sehari ada 24 jam, seminggu ada 7 hari, sebulan ada 28,29,30 dan 31 hari dan sebagainya. Ini yang menjadikan perjalanan kita terhalang. Apabila kita boleh mengatasi ruang dan masa, maka tiada masalah.

Peristiwa Israk dan Mikraj mengambil masa tidak sampai semalaman. Rasulullah naik ke langit selepas Isyak dan turun sebelum Subuh. Perjalanan tidak sampai 12 jam. Sedangkan perjalanan ke Baitul Maqdis sahaja mengambil masa lama. Itu belum lagi mengambil kira tempoh masa naik ke langit iaitu Sidratul Muntaha. Syeikh Dr Muszaffar pun pergi ke bulan selama berminggu-minggu. 

Perjalanan Rasulullah S.A.W bukanlah perjalanan biasa kerana perjalanannya berlaku secara rohani dan bukan melibatkan roh sahaja kerana ada pendapat yang masyhur mengatakan bahawa ia melibatkan sekali roh dan jasad. Jasad dan rohnya tidak dibatasi oleh masa dan ruang. Semasa Baginda kecil, malaikat Jibril membelah dadanya, dikeluarkan hatinya lalu dicuci dengan air daripada belati perak. Inilah persediaan yang berlaku dalam pembersihan rohaninya [2].

Sesetengah daripada kita ada yang menghina para ulamak kerana mendakwa bahawa mereka mengatakan sesuatu yang tiada dalam hadis. Tidak semua perkara ada dalam Hadis. Jom kita telusuri kisah dua Sahabat iaitu: 

a. Bilal bin Rabah.

Rasulullah pernah bertanya kepada Bilal bin Rabah, apakah amalannya sehingga Baginda mendengar tapak seliparnya di dalam syurga? Bilal mengatakan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa amalan cuma dia selalu menunaikan solat sunat dua rakaat selepas berwuduk [3]. 

Inilah kelebihan yang diberikan kepada Bilal. Ia tidak dinyatakan secara khusus pun di dalam Hadis bahawa kita diminta supaya menunaikan solat sunat selepas mengambil wuduk. Bilal melaksanakannya sendiri dengan Allah menggerakkan hati untuk melakukannya. 

b. Uwais Al-Qarni.

Beliau merupakan seseorang yang tidak dikenali. Rasulullah telah berpesan kepada Sayyidina Abu Bakar dan Umar R.A, sekiranya mereka sempat berjumpa dengan Uwais, jumpalah dan mintalah dia memohon keampunan untuk kamu. Baginda memberitahu bahawa Uwais mempunyai tanda di tubuhnya [4].

Setelah Rasulullah wafat, mereka pergi mencari Uwais dan akhirnya menemuinya di padang pasir bersama kambing peliharaannya. Mereka memberitahu tujuan kedatangan adalah kerana pesanan Rasulullah agar mencarinya. Lalu, Uwais menangis kerana baginya, sepatutnya beliaulah yang mencari sahabat-sahabat Nabi kerana mereka sempat hidup bersama Nabi. Sedangkan beliau tidak pernah berjumpa dengan Nabi. 

Doa Uwais sangat mustajab iaitu dimakbulkan oleh Allah dan tidak dihalang oleh apa-apa. Mereka meminta agar Uwais mendoakan mereka. Walaupun beliau merupakan orang biasa namun menurut ulamak, amalan yang luar biasa yang dilakukannya adalah antaranya khidmat kepada ibunya. Beliau pernah mendukung ibunya sambil berjalan daripada Yaman menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. 

Walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan di dalam Hadis tetapi selagimana tidak bercanggah, ia masih boleh digunapakai. Begitu juga dengan pelbagai tafsiran dan fahaman ayat Quran berdasarkan peredaran zaman. Asalkan ia tidak lari daripada prinsip, walaupun huraiannya berbeza mengikut zaman disebabkan oleh keperluan pada satu-satu masa, ia diterima, yang menunjukkan betapa hebatnya Al-Quran. 

Cara bantu Nabi Muhammad S.A.W berbangga dengan umatnya

يَوْمَ نَدْعُوْا كُلَّ اُنَاسٍۢ بِاِمَامِهِمْۚ فَمَنْ اُوْتِيَ كِتٰبَهٗ بِيَمِيْنِهٖ فَاُولٰۤىِٕكَ يَقْرَءُوْنَ كِتٰبَهُمْ وَلَا يُظْلَمُوْنَ فَتِيْلًا

“(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barang siapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya mereka akan membaca catatannya (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun.”

(al-Isra’: 71)

Pada hari akhirat, setiap manusia dipanggil berdasarkan pemimpin atau Nabi mereka. Mereka akan berhimpun mengikut Nabi masing-masing. Oleh sebab itu, Rasulullah menyuruh agar orang lelaki mengahwini perempuan yang baik dan subur iaitu yang boleh melahirkan ramai anak. Sebab Baginda akan berbangga dengan umatnya yang ramai berbanding dengan umat Nabi-nabi yang lain. 

Orang yang menerima kitab amalannya dengan tangan kanan akan berbahagia. Jadi, kita mengharapkan agar kita termasuk dalam kalangan umat Nabi Muhammad S.A.W dan menerima kitab amalan dengan tangan kanan:

وَمَنْ كَانَ فِيْ هٰذِهٖٓ اَعْمٰى فَهُوَ فِى الْاٰخِرَةِ اَعْمٰى وَاَضَلُّ سَبِيْلًا

“Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, maka di akhirat dia akan buta dan tersesat jauh dari jalan (yang benar).”

(al-Isra’: 72)

Di akhirat, orang yang tidak beriman dan melanggar agama disebut sebagai orang yang buta pandangan dan buta mata hati. Cara agar kita tidak tergolong dalam golongan ini adalah dengan berpegang pada Al-Quran dan Hadis. 

Segala perkara dalam hidup haruslah dilihat dan dinilai dengan pandangan agama bukan kebendaan. Sekiranya orang itu dianggap baik tetapi apabila menurut agama dia tidak dikira baik, maka tidak baiklah dan sebaliknya. 

Syarat bagi orang yang baik ialah beriman dan beramal soleh. Zaman kini adalah zaman yang mengelirukan. Pada zaman dahulu, tok imam, bilal dan guru sangat dimuliakan dan dihormati tetapi kini tidak lagi. 

Oleh itu, kita digalakkan untuk membaca doa yang diajar oleh Rasulullah iaitu: 

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

“Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.” 
[5]

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 10 Oktober 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 14/10/2022

Rujukan:

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 6347).

[2] Al-Rahiq Al-Makhtoum oleh Al-Murakfuri, m/s 63.

[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 1149) dan Muslim (no. Hadis 2458). 

[4] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 2542).

[5] Tafsir Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ke 213 daripada Surah Al-Baqarah (1/444). Sebahagian ulama berpandangan bahawa doa ini berasal daripada Umar Bin Al-Khattab (Al-Bahuti 3/497).

- Advertisement -