
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan menyatakan iltizam kerajaan untuk terus memastikan kebajikan dan sokongan yang berterusan kepada pesawah, nelayan dan pekebun kecil.
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pada tahun hadapan kerajaan akan menyediakan pelbagai subsidi dan insentif .
Katanya, ini merangkumi subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan dengan peruntukan RM1.8 bilion, iaitu meningkat RM100 juta berbanding tahun ini.
“Bantuan kepada pesawah padi diperkenalkan semula untuk tahun 2023 dengan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh empat bulan kepada 320,000 pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta ringgit.
Katanya, ini bermakna pekebun kecil akan mendapat BMT sebanyak RM800 berbanding RM600 sebelum ini.
Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, katanya Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.
Menurutnya, kerajaan juga memperkenalkan Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi. – HARAKAHDAILY 7/10/22




















