RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 lulus

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang meningkatkan penalti sehingga RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diluluskan oleh Dewan Rakyat, hari ini.

Selepas 22 orang membahaskan RUU ini, Ahli Parlimen sebulat suara meluluskan pindaan terhadap undang-undang itu.

- Advertisement -

Ketika penggulungan petang tadi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyambut baik semua Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Secara keseluruhan, katanya RUU yang dibentangkan ini adalah memfokuskan terhadap penambahbaikan hukuman, penalti serta denda, dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, pindaan undang-undang itu yang juga dikenali sebagai Akta 127 akan dibuat secara berfasa.

Mengikut RUU ini yang bertujuan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang RM100,000.

Selain itu, individu yang melakukan, membenarkan, mengarahkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis boleh, apabila disabitkan, didenda minimum RM25,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, mengenai keberkesanan hukuman penjara, beliau berkata kementerian ingin menjelaskan bahawa hukuman, penalti dan denda adalah untuk memberi isyarat dan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mencemar alam sekitar.

“Statistik menunjukkan kes yang disabitkan di mahkamah pada tahun 2017 sebanyak 218 kes meningkat kepada 405 kes pada tahun 2020. Oleh itu, langkah ini diyakini dapat mengurangkan lagi kes-kes pencemaran alam sekitar,” katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa usaha menjaga alam sekitar harus dijalankan secara bersama dan bersepadu.

Sehubungan itu, katanya mewakilkan kuasa kepada agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diperluaskan kepada agensi penguatkuasaan lain mengikut kesesuaian dan kemampuan agensi.

Berhubung persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, sama ada peningkatan denda bertujuan untuk menampung kos pembersihan, Tuan Ibrahim berkata pindaan Akta 127 Fasa 1 adalah sebagai pengajaran.

Selain itu, katanya ia menunjukkan tindakan tegas dan serius kerajaan dalam usaha menangani pencemaran alam sekitar.

Ketika perbahasan, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan tanggungjawab besar yang akan dipikul oleh kementerian selepas RUU ini diluluskan.

Menurutnya, KASA akan memastikan keupayaan sumber manusia dan kelengkapan logistik dipertingkatkan, terutama bagi meningkatkan keupayaan pasukan siasatan dan pasukan pendakwa.

“Pada masa ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai kekuatan seramai 1,132 pegawai penguat kuasa di seluruh negara.

“Bilangan ini memang tidak mencukupi bagi menangani kes pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat dan mencabar. Oleh itu, KASA sedang meneliti keperluan pertambahan perjawatan bagi mewujudkan pejabat cawangan JAS di setiap daerah di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/22

- Advertisement -