Rasionalkan harga tiket penerbangan musim perayaan

- Advertisement -

SAYA ingin menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Timbalan Menteri yang telah menjawab soalan saya pada sesi Jawapan Lisan Dewan Rakyat semalam. 

Berdasarkan jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri, pihak Kementerian telah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi menurunkan harga tiket dan hasilnya syarikat akan menambah kapasiti penerbangan mengikut keperluan dari semasa ke semasa. 

Saya amat bersetuju dengan cadangan yang telah diputuskan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri. Walau bagaimanapun, saya berpendapat keutamaan untuk menambah kapasiti penerbangan ini adalah amat kritikal ketika musim perayaan.

Hal ini demikian kerana, secara puratanya, kadar kenaikan tambang syarikat penerbangan komersial pada musim perayaan adalah melebihi 100 peratus berbanding kadar tambang pada waktu biasa. 

Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar Kementerian perlu mengkaji dan menetapkan kadar minimum kapasiti penerbangan yang perlu dilaksanakan oleh mana-mana syarikat penerbangan pada musim perayaan bagi mengelakkan peningkatan harga tambang yang terlalu mendadak dalam tempoh tersebut. 

Pada masa yang sama, saya juga berpandangan Kementerian perlu merangka dan memperkenalkan lebih banyak inisiatif bersifat jangka panjang yang mampu membantu syarikat penerbangan beroperasi secara mampan, tetapi boleh mengekalkan kadar tiket yang rasional untuk manfaat rakyat. 

”Malaysia Sejahtera”

YB TUAN HJ WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -