
ORANG Arab Jahiliah mempercayai yang burung hantu ialah suatu petanda buruk atau sial. Kepercayaan ini juga wujud dalam masyarakat Melayu pra-Islam. Hal ini bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar sepertimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Tidak ada ‘Adwa (penyakit berjangkit disebarkan oleh semangat jahat pada manusia atau haiwan), tidak ada Tiyarah (sial pada burung yang berterbangan), tidak ada Haamah (sial pada burung hantu), dan tiada (nahas dalam) bulan Safar.”
(Riwayat Bukhari)
Fenomena alam yang berlaku di sekeliling kita tiada kaitan dengan sial atau musibah, sebaliknya merupakan tanda kekuasaan Allah S.W.T yang mencipta dan mentadbir alam ini selaras dengan sabda Baginda S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah sebahagian dari tanda kebesaran Allah, dan keduanya tidaklah mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Kerana itu, apabila kalian melihat gerhana matahari atau bulan, maka bertakbirlah dan berdoalah kepada Allah, serta solat dan bersedekahlah.”
(Riwayat Muslim)
Burung hantu dikenali sebagai owl dalam Bahasa Inggeris. Masyarakat Melayu turut memanggil burung hantu dengan nama pungguk (keluarga Strigidae) dan jampuk (keluarga Tytonidae). Secara umumnya burung hantu merupakan burung dalam order Strigiformes. Terdapat lebih kurang 200 spesies burung hantu yang telah dikenal pasti di seluruh dunia dan terdapat 17 spesies di Malaysia yang disenaraikan sebagai haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Burung hantu ialah burung pemangsa yang aktif pada waktu malam yang memakan serangga, roden bersaiz kecil dan arnab. Antara ciri fizikal burung hantu ialah sepasang mata besar menghala ke depan yang membolehkannya melihat dengan pandangan yang lebih luas dan memudahkannya untuk mengesan mangsa. Selain itu, burung hantu juga mempunyai kebolehan memusingkan kepalanya sehingga 270 darjah tanpa merosakkan salur darah dan mengoyakkan tendonnya. Hal ini adalah untuk membolehkan burung hantu mengalihkan pandangannya kerana matanya tidak boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan.
Selain daripada mempunyai penglihatan yang baik dalam suasana gelap, burung hantu juga mempunyai pendengaran yang amat sensitif yang sangat berguna untuk memburu. Kedudukan telinga yang berada di tempat yang berbeza pada kepala membolehkannya untuk mengetahui dari mana arah sesuatu bunyi datang. Selain itu, sayap burung hantu juga lebih aerodinamik membolehkan ia terbang dengan sangat senyap sehingga hampir tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Hal in membuatkan burung hantu tidak dapat dikesan apabila ia terbang ketika hendak menyambar mangsanya.
Menurut kajian, lebih separuh daripada spesies burung hantu di Malaysia hanya dapat ditemui di kawasan hutan kerana lubang-lubang yang ada pada pokok-pokok besar di hutan yang tua merupakan tempat tinggalnya. Habitat spesies burung hantu berbeza bergantung kepada struktur dan faktor landskap. Bahkan, spesies yang berbeza turut mempunyai saiz dan tabiat pemakanan yang pelbagai. Keadaan ini menunjukkan bahawa setiap spesies burung hantu mempunyai peranan yang tersendiri yang penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem. Kegiatan pembalakan dan pemburuan yang berleluasa serta aktiviti pertanian dan pembangunan tidak mapan akan mengancam kemandirian spesies burung hantu, seterusnya mengganggu kestabilan dan keteraturan ekosistem alam.
MOHD IZZUDDIN HASANUDIN
Pembantu Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 19/9/2022
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0Q214vmqi99CisgXRqDpM8CQwTfPe6qdviDap8dzHt2Xo3QNPf54hyoegxgTh3cB1l&id=100064392321114
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











