Harakah mampu muncul media arus perdana

- Advertisement -

Oleh ZAINUDDIN AWANG HAMAT & ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Seorang pegawai kanan kerajaan menyarankan imej akhbar Harakah perlu digilap kembali untuk muncul sebagai media arus perdana suatu masa nanti.

Beliau berkata, pihak pengurusan Harakah perlu membuat kajian untuk menyajikan informasi yang betul dan maklumat tepat.

- Advertisement -

Beliau turut mencadangkan kepada pihak pengurusan Harakah supaya mewujudkan kiosk di setiap negeri bagi memudahkan orang ramai mendapatkan Harakah yang beredar di pasaran.

“Pada pandangan saya, Harakah menjadi media yang boleh memberikan input lebih baik dan maklumat yang betul kepada rakyat.

“Biar rakyat tahu apa yang kerajaan buat sebenarnya serta mengurangkan isu politik supaya tidak banyak sangat seperti sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga Harakah boleh menjadi akhbar alternatif bagi menyalur maklumat semasa kepada rakyat memandangkan maklumat yang tular di media sosial sekarang banyak yang meragukan.

Bagaimanapun beliau berkata, kebanyakan berita yang tular di media memberi imej negatif terhadap kerajaan negeri dan ia perlu dijawab segera Harakah.

“Tiada lain kita kena pastikan berita yang dihasilkan itu benar-benar menarik kerana hal ini yang menarik perhatian rakyat.

“Ini kerana mereka suka melihat benda tular berbanding media konvensional, jadi kalau kita lebih cepat nak counter kena ada maklumat jelas,” katanya yang enggan dikenali.

Manakala adik kepada pemimpin Umno dari Johor pula menyarankan Harakah ditambah baik untuk memastikan kandungan berita dan rencana menarik perhatian pembaca.

Beliau berkata, setiap laporan yang dihasilkan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam etika kewartawanan.

Menurutnya dengan kesungguhan tersebut beliau yakin Harakah mampu menjadikan akhbar yang berintegriti.

“Apa yang penting kena buat berita berdasarkan fakta jangan banyak spin off, bila sekali spin orang tidak percaya lagi.

“Saya percaya untuk mendapat kepercayaan masyarakat perlu memakan masa yang panjang, jadi elakkan berita sensasi dan berunsur politik yang banyak,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2022

- Advertisement -