
PAS akur pada keputusan kes Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas mantan Perdana Menteri ke-6, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
PAS menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menghormati setiap keputusan yang dilakukan oleh Institusi Kehakiman.
PAS juga mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Malaysia pimpinan YAB Dato Seri Ismail Sabri kerana teguh berpegang pada prinsip pengasingan kuasa dan mengambil tindakan tidak mencampuri urusan Institusi Kehakiman.
PAS menegaskan agar kes-kes berprofil tinggi yang sedang dalam perbicaraan seperti kes YB Lim Guan Eng, YB Syed Saddiq, YB Dato’ Seri Zahid Hamidi dan individu lain juga dapat segera diselesaikan dan diadili tanpa sebarang campur tangan dan tekanan dari mana-mana pihak.
PAS juga mengharapkan agar Dato’ Sri Najib Tun Razak serta keluarga agar terus tabah dan redha dengan segala ketentuan dari Allah SWT. PAS mengiktiraf segala jasa beliau dalam membangunkan negara sepanjang tempoh menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-6.
Semoga keputusan kes ini menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, rakyat dan generasi muda negara.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
24 Ogos 2022 | 26 Muharam 1444 – HARAKAHDAILY 24/8/2022




















