
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Seramai 1,985 anggota bermotor Alternative Riding Club (ARC) Kelantan dijangka hadir dan berkonvoi pada program Himpunan Anak Muda Kelantan yang dijadualkan pada pukul 4.00 petang ini.
Mereka bukan sahaja menyertai program berkonvoi bersama pimpinan, sebaliknya diamanahkan untuk mengiringi beberapa orang pimpinan utama yang bakal hadir pada program bersejarah sempena ulang tahun kedua Perikatan Nasional (PN) Kelantan.
Pengarah ARC Kelantan, Sazali Norsaham memberitahu, anggota ARC seluruh Kelantan mewakili kawasan seramai 30 anggota akan menjayakan program berkenaan.
“Mereka akan keluar dari kawasan masing-masing lebih awal dan akan berkumpul di Lembah Sireh sebelum pukul 4.00 petang.
“Ini kerana kira-kira pukul 4.20 petang, kita akan berkonvoi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota marsyal ARC dan expert ARC bagi mengiringi pimpinan ke tempat program,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kenduri arwah di kediaman Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad semalam.
Menurutnya, antara tugas anggota ARC menjadi pengiring menteri, exco belia dan ketua pemuda PAS peringkat negeri dan Pusat.
Jelasnya, seramai 30 anggota ARC terpilih yang akan menjadi marsyal serta mengiringi anak buah masing-masing.
“Kita berharap tugas serta sumbangan kecil kami ini dapat melancarkan perjalanan program penting yang dijadualkan hari ini.
“Kami juga mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi, insya-Allah demi perjuangan, demi anak muda dan kita semua, kami akan lakukan yang terbaik, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2022











