
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Lebih 1,000 jentera muslimat berjaya dihimpunkan pada Himpunan Jentera Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (HIJAP 1K) yang diadakan di Balai Islam Madi, Jejawi Dalam di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Pilihan raya DMPNPs, Noor Fatimah Ariffin berkata, gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya perlu dilakukan secara berjemaah serta organisasi yang tersusun rapi.
“Bekerjalah kerana Allah dengan tanzim (organisasi) yang tersusun rapi di samping mempamerkan akhlak yang mulia.
“Turun bertemu dengan pengundi, terangkan kepada mereka, jangan menyerang supaya mereka dapat memberi undi kepada PAS,” katanya semasa memberi ucapan pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada muslimat Perlis yang berjaya mengumpulkan lebih 1,000 jentera pada himpunan tersebut.
“Jika Perlis negeri yang kecil ini dapat kumpul lebih 1,000 jentera, negeri lain yang lebih luas perlu menghimpunkan lebih banyak jentera.
“Kita mengharapkan agar pilihan raya akan datang PAS dapat menguasai 2/3 kerusi parlimen supaya kita boleh mengubah perlembagaan yang ada,” katanya.
Ujarnya lagi, kini umat Islam bukan lagi berperang dengan jasad tetapi berperang ideologi.
“Kita lihat masyarakat kini semakin jauh dengan Islam, maka perkara inilah yang perlu diubah agar masyarakat kembali memperkukuhkan akidah Islam.
“Jentera parti perlu turun secara menyeluruh kepada masyarakat bukan hanya di Dun target semata-mata,” katanya.
Pada himpunan tersebut, turut diadakan Majlis Pelancaran PAS Pilihanku peringkat negeri oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shukri Ramli.
Turut hadir Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Idris Yaacob; Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS negeri, Dr Saifizi Saidon dan Ketua DMPNPs, Nor Shahirah Salleh. – HARAKAHDAILY 21/8/2022











