3,000 mahasiswa berkumpul nyatakan sokongan kepada PAS

Seramai 3,000 mahasiswa hadir pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022 di Wisma LKIM, di sini pada 20 Ogos 2022. Foto Media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PUCHONG:
Seramai 3,000 mahasiswa dari pelbagai latar belakang institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara berkumpul dalam Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022 bagi menyatakan sokongan kepada PAS berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Program anjuran Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (Siswa PAS) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) itu bertujuan menjadi medium pembentangan pentadbiran kerajaan kepada mahasiswa untuk membudayakan politik matang dan sejahtera.

Selain itu, bertujuan menyuntik semangat mahasiswa untuk terus memberi sumbangan dan bakti kepada negara melalui saluran benar dan beretika.

- Advertisement -

Dalam konvensyen sama, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut melancarkan Jentera Pilihan Raya Mahasiswa dan menerima sebanyak 1,500 borang keahlian dari dua kelab berkenaan.

Melalui kenyataan bersama, Siswa PAS dan Gamis menyatakan keyakinan PAS adalah parti yang bebas salah laku dan rasuah selain mampu mentadbir kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sesi Townhall Mahasiswa bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) pada Konvensyen Mahasiswa Malaysia. Foto Media Konvensyen Mahasiswa Malaysia.

Mereka juga menegaskan mahasiswa menuntut sebuah pentadbiran negara yang telus dan beretika demi menjamin kemaslahatan masa depan rakyat, terutamanya generasi muda.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata penganjuran konvensyen itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada mahasiswa untuk menjadi ejen transformasi kepada kesedaran politik dari kalangan orang muda.

Menurutnya, anak muda yang tidak minat berpolitik berbahaya untuk masa depan negara.

“Kita bimbang tidak akan wujudnya check and balance (semak dan imbang) dalam kerajaan jika tiada penglibatan orang muda terutama dari kalangan mahasiswa.

“Jadi kita harapkan mereka menjadi ejen penerangan dan informasi kepada masyarakat dan seluruh terutamanya dari kalangan orang muda,” katanya dalam sidang media Konvensyen Mahasiswa Malaysia 2022 di Wisma LKIM, di sini, semalam.

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad

Pelbagai program dianjurkan sepanjang konvensyen bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, antaranya Pidato Aspirasi Mahasiswa buat negara, dan Townhall Mahasiswa bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Selain itu, slot khas pesanan Presiden PAS buat mahasiswa Malaysia dan pelancaran buku Warkah Anak Muda oleh Presiden PAS.

Pelancaran buku Warkah Anak Muda tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Foto Media Konvesyen Mahasiswa Malaysia 2022

Turut hadir pada program sehari itu ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin; Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh.– HARAKAHDAILY 21/8/2022

- Advertisement -