
TUMPAT: Malaysia menghantar lapan atlet mewakili Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF) menyertai Kejohanan ITF Dunia 2021 di Amere, Belanda, bermula 26 Julai hingga 1 Ogos.
Empat daripadanya adalah belia Kelantan iaitu Abdul Hadi Ibharim, 32, dari Kampung Perangkap Bunut Susu. Hadi disenaraikan atas kelayakan menjuarai pingat emas dalam acara MGTF National Selection ITF Taekwondo-Do World Championship 2021 kategori Individual Pattern dan Individual Sparring.
Manakala warga Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Noor Syazlin Mat Salleh, 24, pula terpilih setelah mengungguli pingat emas dalam Kejohanan UTM Open 2019 bagi kategori Individual Sparring.
Turut terbang ke Belanda ialah Tengku Arifah Syathirah Tengku Mohammad Ariff, 22, dari Taman Guru, Kota Bharu dan Nor Amalia Ismin, 23, setelah merangkul emas dalam kategori Individual Pattern dan Sparringdalam ITF HQ Korea Asia Taekwondo Championship 2018.
Mereka diiringi Jurulatih Norsharifuddin Mohd Rashidi dan Pengadil Sufi Yusuf dan Zamrie Rismawadi Mahmet juga dari Kelantan.
Exco Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi menzahirkan kebanggaannya dan berharap kontinjen Malaysia meraih kejayaan cemerlang di arena antarabangsa.
“Inilah sebahagian daripada model Genius Abqariah kebanggaan Kelantan. Hebat anak muda kita, cemerlang dalam arena sukan dunia dan terus istiqamah mengamalkan syariah dan memelihara adab,” katanya ketika berkunjung ziarah ke kediaman Nor Amalia di Kampung Periok, Chabang Empat, Tumpat, Ahad lepas.
Beliau diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu YB Mohd Rosli Abdullah yang turut mendoakan semua atlet Malaysia berjaya meraih pingat emas. – UPKN













