Menjawab angan-angan kosong KUB Tumpat

Pembangunan untuk masyarakat pulau di Tumpat

- Advertisement -

KIRIMAN klip video Tiktok dari seorang teman kepada saya memaparkan Ketua Umno Bahagian (KUB) Tumpat yang sedang berlabon mengenai pembangunan pulau-pulau di daerah ini. 

- Advertisement -

Maaf, saya merasa cukup lucu. Lepas berdegar-degar di Himpunan Agung Umno (PAU) dan tak lama lagi PRU15 pula, lagi dan lagi janji bulan dan bintang ditabur, bagai lupa jejak kaki atas tanah di bumi.

Dato’ mari saya nak pesan sikit. Jikapun Dato’ tak boleh bawa balik sumbangan dan jasa pembangunan, tetapi usahlah dinafikan pula usaha orang lain. Kalau tengok sembang itu, Umno tetap Umno, boleh dengar segala janji, yang dikota belum boleh. 

Juga Dato’ mesti faham bahawa urusan merangka strategi, melaksanakan perancangan dan projek pembangunan masyarakat di perbandaran serta di kampung kepulauan adalah tanggungjawab sebuah kerajaan.

Sebagai makluman ulangan, manalah tahu Dato’ terlupa atau buat-buat buta atau paling malang tak menerima informasi ini, berikut saya nak beritahu senarai projek pembangunan khususnya untuk masyarakat di Kepulauan Tumpat:

1. Projek mendalamkan beberapa sungai utama di Jajahan Kota Bharu dan Tumpat

Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob telah meluluskan RM5.4 juta bagi tujuan tersebut. Projek ini dilaksanakan di bawah agensi kerajaan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dijangka siap 22 Jun 2023.

Kemajuan projek setakat 15 Mac 2022 adalah 6.9 peratus di mana dengan pelaksanaan projek ini akan menyelesaikan masalah air cetek serta bah besar yang dihadapi penduduk pulau.

2. Projek pembangunan semula Pasar Terapung Pulau Suri Jajahan Tumpat

Pasar Terapung Pulau Suri merupakan produk pelancongan yang berkongsepkan eco-Tourism dan sudah sedia menjadi tarikan kunjungan ke daerah ini.

Menyedari potensi dan perhatian ke atasnya, inisiatif menaik taraf dan meningkatkan promosi ke atasnya giat dijalankan antaranya melibatkan pembangunan semula pasar tersebut.

Pembinaannya dijangka bermula Jun 2022 di mana ECERDC telah meluluskan RM1.5 juta untuk menaik taraf pulau tersebut dan tambahan RM200,000 bagi pembinaan surau di situ.

3. Cadangan pembangunan Medan Usahawan Nelayan

Sebuah medan usahawan nelayan dirancang dibina di Kampung Kok Majid dengan melibatkan anggaran peruntukan RM5 juta bagi meluaskan lagi tarikan berkonsep ikan bakar dan restoran.

Ia bukan sahaja satu usaha tarikan berterusan ke sini dan memperkenalkan keunikan setempat, tetapi juga langkah meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk.

4. Cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Teluk Renjuna ke tanah besar

Perkara ini telah acapkali dibangkitkan oleh YB Dato’ Ahli Parlimen Tumpat di dalam persidangan Parlimen untuk meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan perkembangan terkini projek tersebut.

Semalam di Sidang Dewan Rakyat, Timbalan Menteri memberitahu permohonan projek pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Teluk Renjuna ke bandar Tumpat akan dikemukakan dalam Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dato’ KUB Tumpat, ini baru sedikit yang saya mahu sebut dan banyak lagi inisiatif serta usaha yang sedang kerajaan jalankan dalam kawasan kepulauan Tumpat ini.

Usahlah Dato’ galak ‘berbual’ mahu buat Cable Car bagai di sini sedangkan banyak lagi keperluan rakyat yang patut diutamakan.

Jangan sebab jarang-jarang jumpa rakyat di pulau, kita terlebih ‘excited‘ sembang deras.

“Islam Menyatukan Ummah”
“Memacu Perpaduan”

MOHD HUSHAIMI HUSSIAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -