Kerajaan tidak kompromi individu hina agama Islam

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang menimbulkan provokasi menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebarang tindakan menghina dan menggugat keharmonian bakal berdepan dengan tindakan tegas.

“Kerajaan sekali-kali tidak akan berkompromi dengan apa-apa tindakan provokasi yang menghina kesucian agama Islam atau menghina Rasulullah SAWdan seumpamanya.

“Sesiapa yang berbuat demikian kita akan pastikan mereka berdepan dengan tindakan undang-undang yang sewajarnya, ia bergantung kesesuaian mahkamah sivil atau syariah,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan di Program Free Open Market: Souq@YADIM sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Kelantan, di sini, hari ini.

Ketika ditanya kewajaran kerajaan untuk meminda akta sedia untuk mengenakan tindakan lebih tegas katanya, setakat ini undang-undang sedia ada telah memadai bahkan tiada sebarang keperluan untuk meminda akta berkenaan.

“Setakat ini undang-undang sedia ada telah memadai. Bahkan mereka yang telah melakukan berbuatan menghina agama telah pun dikenakan hukuman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penghantar makanan mengaku bersalah atas pertuduhan membuat serta memulakan penghantaran komunikasi jelik menghina umat dan agama Islam serta Rasulullah SAWmenerusi YouTube.

Lelaki terbabit terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas gagal membayar denda RM50,000 yang dikenakan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, ketika mengesahkan perkara itu berkata Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli, 39, dihantar menjalani hukuman itu di Penjara Kajang, petang tadi.

Terdahulu, Mohd Nor’ Muzil dihukum denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, sejurus pertuduhan berkenaan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil. – HARAKAHDAILY 23/7/2022

- Advertisement -