
BACHOK: Rakyat Kelantan tidak melepaskan peluang berkunjung ke tapak sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri yang diadakan di Pantai Irama dekat sini.
Laluan masuk ke lokasi berkenaan begitu sesak hari ini, di mana ribuan rakyat Kelantan termasuk juga dari negeri lain antaranya Terengganu dan Kedah bertali arus berkunjung ke program tersebut.
Lokasi tersebut terletak di tepi pantai bersebelahan pusat pelancongan Pantai Irama, membolehkan orang ramai mengunjungi sambutan Hari Peladang sambil berkelah bersama keluarga.
Pelbagai agensi pertanian milik kerajaan negeri dan persekutuan menyertai pameran yang diadakan. Orang ramai juga berpeluang membeli anak pokok buah-buahan yang diinovasi dari makmal termasuk benih pisang yang dihasil makmal FGV di Pahang.
Menurut jurucakap FGV anak pokok pisang Berangan paling laku apabila menjadi rebutan orang ramai yang dijual dengam harga RM10 untuk 4 pokok.
Selain itu pelajar Politeknik Kota Bharu di Kok Lanas pula menjual produk baja kompos yang sesuai untuk sayur-sayuran dan buah-buahan. Produk tersebut hasil inovasi pelajar jurusan teknologi pertanian.
Booth Mardi turut mendapat sambutan apabila orang ramai membeli pelbagai jenis buku berkaitan penanaman buah-buahan. Buku paling laris berkaitan penanam durian dan kaedah menghasilkan makanan ternakan.
Ruang pameran lembu sado juga mendapat sambutan, apabila ada pengunjung mengambil peluang bergambar dengan lembu sado yang berharga lebih RM10,000.
Pelajar sekolah juga berpeluang mengenali buah tradisional yang menjadi kegemaran datuk nenek kita, antaranya buah ara, nona, binjai, kelubi, asam gelugur, sekiat, kuini, kedondong dan pelbagai lagi.
Sambutan Hari Peladang yang bermula Khamis lepas akan berakhir esok. Selain itu di Kota Bharu juga ada ekspo Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu yang bermula semalam dan berakhir esok. – HARAKAHDAILY 23/7/2022











