
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kerajaan melulus peruntukan sebanyak RM427.91 juta bagi membina hospital dan klinik melibatkan sebanyak 12 projek di Kelantan yang dijangka siap tahun ini, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Manakala, dua lagi projek dalam pembinaan dijangka siap pada tahun depan melibatkan pembinaan Kuarters Klinik Kesihatan Aring, Gua Musang, dan pembinaan Hospital Bachok yang merangkumi 76 katil.
Selain itu katanya, sebuah bangunan guna sama sedang dibangunkan untuk menempatkan Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan bagi pelbagai jabatan persekutuan melibatkan peruntukkan sebanyak RM 576 juta.
“Pembangunan ini bagi meningkatkan kemudahan untuk penjawat awam dan penduduk sekitar di Bandar Baru Tunjong. Projek ini berjalan dengan lancar dan akan siap sepenuhnya pada Julai 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Melaysia di perkara Stadium Sultam Muhammad IV, di sini hari ini.
Katanya juga sejumlah RM2.6 billion di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diluluskan untuk Kelantan melibatkan sebanyak 88 projek merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu bagi tujuan pembangunan. – HARAKAHDAILY 23/7/2022




















