
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia memberi kesan serta cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan harga jagung bijiran dan baja serta kenaikan kos logistik menyebabkan peningkatan harga barangan yang menyaksikan kadar inflasi meningkat tinggi.
Namun begitu katanya Malaysia masih mengalami inflasi pada kadar terendah di Asia Tenggara hasil usaha berterusan kerajaan menanganinya dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.
“Oleh itu, kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan dengan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak paket,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Melaysia yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini. Hadir sama Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Kerajaan negeri Dato’ Nazran Muhammad.
Selain itu, kerajaan juga memberi bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.
Katanya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah negara dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.
Perdana Menteri juga berkata, kerajaan melaksanakan kaedah menangani miskin tegar dengan kaedah baru secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan.
Katanya juga Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) diselaraskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025. – HARAKAHDAILY 23/7/2022











