MAIPs, JKM banci rumah rosak akibat ribut

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat bancian rumah yang rosak akibat ribut di beberapa kampung di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata, MAIPs dan JKM akan membuat bancian bagi mendapat maklumat lengkap berkaitan kerosakan setiap rumah penduduk.

“Penduduk yang terjejas juga dinasihat segera membuat laporan polis agar bantuan bagi membaiki kediaman dan keperluan berkaitan dapat disalurkan,” katanya di sini hari ini.

- Advertisement -

Pada kejadian tersebut semalam sebanyak 100 rumah penduduk di beberapa kampung di sini rosak akibat ribut dan hujan lebat yang melanda Perlis.

Kejadian terbabit berlanjutan sehingga jam 8 malam mengakibatkan banyak rumah rosak, di mana ada bumbung diterbangkan angin kencang dan rumah dihempap pokok.

Kawasan yang terjejas teruk iaitu Taman 20, Bukit Keteri melibatkan 30 rumah penduduk.

Ribut turut merosakkan rumah penduduk di Paya, Lubuk Sireh, Padang Pauh, Perawah, Panggas, Kubang Perun, Ulu Pauh, Balik Bukit, Batu 5, Abi, Kurung Batang, Wang Besar, Pekan Kangar, Masjid Putra dan Kuala Perlis.

Manakala pada perkembangan berkaitan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian tersebut. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -