
ALOR SETAR: Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) terus merintis inisiatif yang inovatif dan transformasi apabila memperkenalkan pula penggunaan Smart Parking di mana merupakan pengurusan parkir pintar pertama di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengenalan itu selari suasana global semenjak 5 tahun kebelakangan ini yang menyaksikan adaptasi dan implementasi transformasi digital lebih menyeluruh di serata dunia.
Menurutnya, perkongsian aspirasi dan transformasi digital yang sedang dibangunkan MPKK itu menyusuli rekod pencapaian besar telah dirintis sebelum ini iaitu inisiatif permit pembinaan ekspres (E10) dan penubuhan Unit MyMudah pertama di peringkat PBT di Kedah.
“Inisiatif-inisiatif ini telah memberi impak besar kepada pelaburan dan produktiviti negeri Kedah dan negara Malaysia. Di mana MPKK sentiasa komited dalam menyediakan ekosistem mesra pelabur.
“Ia memudahkan urusan pelabur dan pemain industri dengan menawarkan sistem proses kerja permohonan pemajuan yang efisien dan zero delay,” ujarnya pada majlis pra-pelancaran sistem tersebut di Wisma Darul Aman, di sini sebentar tadi.
Inisitif itu katanya, melakarkan sejarah bermakna kepada pihak MPKK yang mengorak langkah awal untuk keluar dari kepompong kebiasaan dalam pengurusan dan sistem kutipan bayaran tempat letak kereta beralih kepada pengurusan parkir pintar.
“Jika insiatif E10 dan penubuhan Unit MyMudah memberi tumpuan dan manfaat kepada golongan pelabur, pemain industri dan sektor perniagaan. Inisiatif Smart Parking dilihat memberi tumpuan dan manfaat kepada penduduk Bandar Kulim dan orang awam amnya.
“Jadi kita dapat lihat keseimbangan sektor-sektor tumpuan yang diterokai oleh MPKK iaitu sektor ekonomi dan sektor sosial melalui beberapa inisiatif berimpak besar yang saya sebutkan tadi,” ujar beliau.
Menurut beliau, jika dilihat dari perspektif minda yang luas, inisiatif-inisiatif diterokai MPKK ini merupakan suatu bentuk government reform atau transformasi organisasi kerajaan melalui perubahan dan amalan terbaik ‘best practice‘.
Iaitu sama ada dalam bentuk menambah baik polisi sedia ada, perubahan sistem penyampaian perkhidmatan lebih efisien dan sebarang bentuk inisiatif yang bersifat inovatif dan transformasional.
“Apa yang penting dalam apa jua bentuk usaha dan inisiatif yang ditampilkan. Ia mestilah mendahulukan kepentingan masyarakat umum atau masyarakat setempat, dan bukanlah sekadar untuk kepentingan dan imej organisasi semata-mata,” katanya lagi.
Adaptasi dan implementasi transformasi digital menurutnya, menjadi semakin aktif apabila pandemik COVID-19 melanda dunia di mana situasi pandemik menjadi faktor pemangkin kepada masyarakat global untuk menerima teknologi digital sebagai norma baharu.
Kedah terangnya, turut tidak terkecuali daripada fenomena ini bermula dengan aplikasi MySejahtera di mana masyarakat negeri ini telah menerima pakai aplikasi seperti Grab dan FoodPanda serta e-Wallet lainnya.
“Menyedari bahawa teknologi digital sesuai digunakan untuk memantapkan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti i-Bayaq, i-Daftar dan pelbagai aplikasi lain untuk kemudahan pelanggan.
“Dan kerajaan negeri amat menggalakkan rakan-rakan PBT Kedah yang lain supaya turut mengambil usaha dan langkah yang sama mengikut keupayaan prioriti dan kesesuaian di PBT masing-masing,” ujarnya.
Sanusi yakin dan percaya jika semua PBT Kedah bergerak bersama-sama ke arah transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan akan mencipta satu gelombang perubahan yang besar dalam landskap tadbir urus PBT di Kedah khasnya.
“Sekali gus memberi cerminan imej yang baik kepada kerajaan negeri Kedah amnya. Dan ia turut seiring dengan teras 5 Kedah 2035 iaitu kompetensi tadbir urus yang telah digariskan,”
Maklumnya, inisiatif Kulim Smart Parking adalah berasaskan public funded inisiative (PFI) di mana terasnya ialah perkongsian yang perlu berbentuk satu perkongsian dijalin dengan asas kukuh.
“Maksud yang saya cuba sampaikan di sini ialah pihak syarikat Hi-Tech Padu Bhd perlu memahami aspirasi dan objektif MPKK secara mendalam supaya pelaburan Hi-Ttech dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua pihak terutamanya masyarakat setempat dan orang awam.
“Kita sedia maklum bahawa perjalanan mengubah proses analog kepada digital bukanlah satu proses yang mudah. Selepas bertahun-tahun dengan kebiasaan menggores kupon letak kereta.
“Penerimaan umum kepada proses baharu dengan penggunaan telefon pintar aplikasi dan e-Wallet mungkin menarik minat kepada golongan tertentu iaitu generasi yang celik IT dan peka digital. Kelompok ini mudah menerima pembaharuan bercorak begini,” ujarnya.
Beliau mohon pihak pelaksana Kulim Smart Parking iaitu MPKK dan syarikat Hi-TTech mengambil kira proses ‘education and awareness’ kepada golongan yang berkemungkinan tercicir dari aspek teknologi seperti golongan warga emas dan OKU.
Sanusi tidak mahu ada golongan yang ketinggalan atau tercicir dalam usaha mengejar agenda transformasi digital. – HARAKAHDAILY 13/7/2022











