JAKIM siasat wanita tular hina Islam

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan menyiasat perkara yang tidak senonoh atau menghina Islam.

Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau akan minta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya.

“Insya-Allah pihak saya tidak pernah bertolak ansur dan berdiam diri dalam perkara ini. Jika berlaku melalui media sosial pihak saya akan minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ambil tindakan.

- Advertisement -

“Jika kejadian itu kita tahu tempat dan kenal individu yang menghina agama maka pihak berkuasa agama negeri tersebut akan dihubungi.

“Insya-Allah inilah tertib kerja kita. Teruskan melapor, ini tanggungjawab bersama,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Baru-baru ini tular isu video wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam. Media melaporkan wanita itu sudah dalam tindakan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pada kenyataan sebelum itu katanya beliau meminta JAWI mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera.

Menurutnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

Sementara itu, JAWI mengambil maklum berkenaan video tular dipercayai perbuatan menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAWI dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 iaitu menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll. agama Islam dengan denda tidak melebihi tiga ribu rlngglt atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua­ duanya.

“JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah-Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -