
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Ibrah Arafah mengajak peserta menghayati pengorbanan para nabi yang sanggup menghadapi pelbagai dugaan demi menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.
Program julung kali di bawah Exco Pembangunan Insan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali itu akan dijadikan acara tahunan menjelang sambutan Aidiladha di negeri ini.
Bertempat di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Ibrah Arafah yang dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Nur Hikmah berjaya mengumpul peserta hampir 500 orang.
Peserta terbabit merupakan wakil NGO wanita seluruh Kedah termasuk jemputan awam penduduk sekitar.
Program dimulakan dengan solat hajat yang diimamkan oleh wakil dari Pejabat Mufti Kedah, Ustazah Faridah Ahmad kemudian diikuti zikir munajat diketuai pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Norazlina Zakaria sebelum hadirin diberi santapan rohani ‘Ibrah Arafah’ oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuden.
Pengarah program, Ustazah Siti Mekiah Shamsudin antara yang turut menyampaikan ucapan pada majlis itu selain ucapan perasmian oleh Siti Ashah sendiri.
Turut hadir isteri Menteri Besar, Toh Puan Jusmalailani Jusoh serta jawatankuasa Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kedah (PIKAT). – HARAKAHDAILY 9/7/2022











