Rakyat Malaysia terkandas di Thailand berdepan risiko disenarai hitam

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

PASIR MAS:
Rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lebih dua tahun lalu berdepan denda dan berisiko disenarai hitam akibat dokumen perjalanan yang tamat tempoh.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailand Mohd Yusoff berkata, mengikut maklumat, pemilik dokumen perjalanan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM2,500 dan berdepan tindakan disenarai hitam selama tiga tahun oleh undang-undang Thailand.

Beliau bagaimanapun berkata, masalah itu telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia dalam proses rundingan dengan kerajaan Thailand bagi memudahkan urusan rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.

- Advertisement -

“Saya menerima banyak aduan rakyat kita berkaitan dokumen perjalanan yang tamat tempoh sepanjang PKP sebelum ini yang tidak dapat cop dan sebagainya. 

“Perkara itu (denda dan senarai hitam) kita tidak boleh ubah melainkan ia mendapat persetujuan daripada kerajaan Thailand terlebih dahulu,” katanya elepas meninjau hari pertama kebenaran kenderaan persendirian merentasi Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.

Siti Zailah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya cuba berunding dengan KDN untuk mempermudahkan perkara tersebut bagi meringankan beban mereka memandangkan ada yang hanya bekerja sebagai buruh dan petani.

Menurutnya juga pembukaan sempadan negara hari ini diharap dapat membantu merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara di samping mengembalikan hubungan kekeluargaan antara rakyat Malaysia-Thailand.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia yang terkandas di negara jiran mengambil peluang itu dengan membawa pulang kenderaan yang tersadai di negara berkenaan tanpa sebarang bayaran bermula hari ini sehingga 30 Jun.

Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana memberi kelonggaran kepada kenderaan rakyat Kelantan yang terperangkap dan tersadai di negara jiran tanpa sebarang bayaran.

“Saya dimaklumkan sepatutnya pada hari biasa kenderaan yang berada di sana dikenakan kadar bayaran sebanyak RM140 sehari bagi setiap kenderaan dan maksimum bayaran dikenakan boleh mencecah sehingga RM1,400 sehari,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -