
KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang bekerja keras bagi mengatasi masalah bekalan air terawat untuk rakyat di musim perayaan.
Ketuanya, Mohd Kamal Muhamad berkata, menyediakan bekalan dengan pertambahan pengguna secara mendadak pada sambutan Hari Raya Aidilfitri sesuatu yang tidak mudah.
Katanya, pembangunan prasarana bekalan air agak ketinggalan di Kelantan kerana berdepan dengan kerenah politik kerajaan Pusat sebelum tahun 2013.
“Sepanjang 1990 sehingga 2013 kerajaan Kelantan tidak mendapat peruntukan kewangan seperti negeri-negeri lain bagi meningkatkan projek bekalan air.
“Pinjaman mudah sebanyak RM600 juta yang diluluskan pada 2013 membolehkan AKSB membina loji baru termasuk di Kubang Kerian bagi meningkatkan kapasiti bekalan air, ” katanya di sini.
Baru-baru ini AKSB menjadi sasaran pembangkang dan NGO tertentu memandang ada kawasan berdepan tekanan rendah terutamanya pengguna yang tinggal di kawasan hujung paip.
Bagaimanapun AKSB membekalkan air menggunakan lori ke kawasan tersebut bagi mengurangkan beban pengguna.
“Dalam kemeriahan hari raya ada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan isu air AKSB. Nampaknya bersungguh benar mereka dengan siri-siri serangan peluru tabur yang ditembak secara tidak adil.
“Jika mahu dibangkit isu lama perlu juga disebutkan sekatan oleh kerajaan BN sebelum ini menyebabkan projek bekalan air di Kelantan lewat berbanding negeri-negeri lain,” ujarnya.
Menurutnya juga selepas Kelantan menyertai migrasi dengan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) projek meningkatkan bekalan air giat dilakukan termasuk membina loji-loji rawatan air baru dan menukar paip lama.
Mohd Kamal berkata, AKSB dan kerajaan negeri berhempas pulas menyediakan bekalan air untuk rakyat dan tentunya ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
Katanya di sebalik kerja keras AKSB pihak-pihak berkepentingan cuba meraih kepentingan politik dengan memberi gambaran seolah-olah syarikat milik kerajaan terbabit hanya berpeluk tubuh.
“Namun nampaknya serangan mereka terhadap isu bekalan air kurang menyengat kerana rakyat dapat melihat sendiri kesungguhan AKSB mengatasi masalah tersebut.
“Di samping itu Allah turunkan hujan di seluruh kawasan sejak seminggu lalu, secara tidak langsung meningkat sumber air untuk dibekalkan kepada pengguna,” ujarnya.
Katanya juga orang ramai melihat kesungguhan AKSB mengatasi masalah bekalan air dengan membelek info di lama airkelantan.com.my. – HARAKAHDAILY 8/5/2022




















