Qaryah Ramadan sedia ruang solat ketika membeli belah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SUNGAI PETANI:
Qaryah Ramadan diwujudkan kerajaan negeri untuk mendidik masyarakat menunaikan solat di mana sahaja tanpa tertakluk di masjid atau surau semata-mata.

Qaryah Ramadan pertama diadakan di Dataran Jam Besar, Sungai Petani bagi memudahkan orang ramai dan peniaga menunaikan solat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, budaya masyarakat sekarang gemar membela belah di penghujung Ramadan terutama selepas waktu berbuka puasa.

- Advertisement -

“Oleh itu kita sediakan medan Qaryah Ramadan supaya mereka dapat menunaikan solat Isya dan bertarawih di samping membeli belah,” katanya di sini.

Qaryah Ramadan tersebut dirasmikan Sabtu lepas beroperasi selama 17 hari bermula 16 April hingga 2 Mei ini. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Agama dan Pembangunan Insan.

Pengunjung Qaryah Ramadan turut berpeluang mendengar tazkirah agama disampaikan penceramah jemputan khas. Selain itu orang ramai juga berpeluang bertadarus.

Khemah khas disediakan bagi membolehkan pengunjung menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih dengan lebih selesa.

Medan ibadat secara terbuka tersebut mengambil ilham Madinah Ramadan yang dilaksanakan di Kelantan serta Terengganu.

Sanusi juga berkata, program seumpama ini akan diadakan di daerah-daerah lain pada Ramadan akan datang. – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -