
KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor (Cawangan Muar) bertindak pantas menyiasat aduan pencemaran air parit berwarna hitam di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati punca daripada pelepasan efluen tidak terawat sebuah kilang kitar semula plastik di kawasan perindustrian tersebut.
Sehubungan itu, katanya premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kerana gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik dan telah menyebabkan pelepasan efluen yang tidak terawat mengalir masuk ke parit.
Beliau berkata, kesalahan itu disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Terima kasih pengadu dan JAS Johor!” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini. – HARAKAHDAILY 20/4/2022











